Khairy Jamaluddin Jadi Individu Pertama Terima Vaksin Sinovac

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan , YB Khairy Jamaluddin menjadi individu pertama di negara ini menerima suntikan vaksin Sinovac pada hari ini.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 keluaran Sinovac Biotech Ltd. dari China di Hospital Rembau pada jam 1.30 tengah hari.

Vaksin Sinovac dibotolkan di Malaysia

Kredit gambar: https://www.theborneopost.com/2021/01/13/two-thumbs-up-for-pharmaniaga-sinovac-deal/

Tahukah anda, ini merupakan satu detik bersejarah dalam industri farmaseutikal negara kerana vaksin ini adalah vaksin yang pertama dibotolkan di kilang tempatan?

Syarikat Pharmaniaga merupakan syarikat farmaseutikal tempatan yang telah menandatangai perjanjian pembelian vaksin Sinovac daripada Sinovac Life Sciences Co sebanyak 14 juta dos. Kemudian, vaksin tersebut dibotolkan di kilang mereka sendiri di Puchong.

Proses bagi kilang Pharmaniaga bagi menjalankan pengisian dan pembotolan ini telah mendapat kelulusan daripada National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA), sebuah agensi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia. Pharmaniaga mampu mengeluarkan dua juta dos vaksin Sinovac setiap bulan bagi membantu negara mencapai imuniti kelompok daripada ancaman COVID-19.

Negara lain yang menggunakan vaksin Sinovac

Kredit gambar: https://apnews.com/article/asia-pacific-indonesia-coronavirus-pandemic-joko-widodo-3ff30c85dc6943e2a06db470a9d04931

Tahukah anda, selain daripada negara China, Brazil merupakan pembeli terbesar vaksin Sinovac. Pada bulan September 2020, Brazil membeli 46 juta dos vaksin ini dan ditingkatkan kepada 100 juta dos menjelang awal tahun 2021.

Negara jiran kita Indonesia juga merupakan pengguna vaksin ini dengan pembelian pertama pada bulan Ogos 2020 dengan jumlah 50 juta dos, dan kemudiannya ditingkatkan kepada 140 juta dos pada bulan Disember 2020. Presiden Joko Widodo merupakan penerima pertama vaksin ini pada 13 Januari 2021.

Turki merupakan sebuah lagi negara yang membeli Sinovac pada skala yang besar. Pada bulan November 2020, Kerajaan Turki telah membeli 50 juta dos vaksin ini, dengan tambahan 50 juta lagi pada bulan Februari 2021. Secara keseluruhannya, 100 juta dos Sinovac telah dibeli oleh Turki. Presiden Recep Tayyip Erdogan telah menerima suntikan dos pertama vaksin ini di Ankara City Hospital pada 14 Januari 2021.

Vaksin-vaksin lain yang dibeli oleh Malaysia 

Kredit gambar: https://www.japantimes.co.jp/news/2021/03/15/world/astrazeneca-blood-clot-safety/

Selain daripada vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada awal Mac tahun ini telah meluluskan penggunaan vaksin AstraZeneca. Kumpulan pertama penghantaran vaksin COVID-19 AstraZeneca ke Malaysia dijangka tiba pada suku kedua tahun ini. 

Sejumlah 6.4 juta dos vaksin COVID-19 AstraZeneca telahpun dibeli oleh negara kita. Vaksin ini adalah vaksin yang sama digunakan di negara-negara Kesatuan Eropah, United Kingdom, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Bahrain, Oman, Mesir, Algeria, Maghribi dan benua Asia seperti India, Taiwan, Filipina, Thailand dan Vietnam.

 

Bacaan Seterusnya