Kini Terdapat 3 Bilion Peranti Dengan Sistem Operasi Android Di Dunia

Sameer Samat, seorang Naib Presiden Produk Google memaklumkan pada Google I/O 2021 bahawa kini terdapat lebih 3 bilion peranti yang dikuasakan oleh sistem operasi Android. Pertambahan ketara ini menurut beliau adalah hasil daripada 500 juta peranti tambahan berbanding 2019, dan 1 bilion berbanding 2017.

Bagaimanapun, jumlah ini hanya dikira berdasarkan pengguna yang memuat turun aplikasi melalui Google Play Store sahaja. Sekiranya ditambah dengan pengguna Android di China yang tidak menggunakan Play Store, sudah tentu ianya melangkaui 3 bilion. Selain itu juga, terdapat pengguna Android di Amerika Syarikat dan Eropah yang menggunakan Amazon Fire sebagai pengganti kepada Play Store.

Berita ini merupakan satu kesinambungan terhadap pegangan pasaran yang kukuh oleh Android berbanding iOS. Apple pada awal tahun ini mengumumkan bahawa terdapat 1 bilion iPhone digunakan di seluruh dunia. Ini bermaksud, nisbah pegangan pasaran Android berbanding iOS adalah pada kadar 3:1.

Apple mencecah jualan satu bilion iPhone pada tahun 2016, dan mereka mencapai 900 juta pengguna aktif iPhone pada Januari 2019.

 

Bacaan Seterusnya