Kisah Disebalik 3 Velodrom Berbasikal Di Malaysia

Usai dikalungkan pingat perak di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, ramai yang mengharapkan kesinambungan terhadap kecemerlangan sukan berbasikal di negara kita. Datuk Azizulhasni Awang bukan sahaja berjaya membawa pulang pingat perak, lebih dari itu pengalaman yang mengujakan kepada seluruh rakyat Malaysia terhadap sukan berbasikal. Sehingga ada pihak yang mula mempersoalkan tentang agihan peruntukan sukan berbasikal jika dibandingkan dengan sukan bola sepak yang dilihat tidak membawa apa-apa pulangan dari segi kemenangan.

Sukan berbasikal di Malaysia sebenarnya bukanlah sukan yang baru dipertandingkan. Sejak tahun 1989, kita telahpun mempunyai sebuah venue khas bagi sukan berbasikal yang dikenali dengan nama Velodrom Rakyat di Ipoh, Perak.

Apa yang pasti, kesinambungan kepada perjuangan Datuk Azizulhasni Awang selepas Sukan Olimpik Paris pada tahun 2024 kelak perlu dicungkil dari akar umbi. Obor yang mula dibawa oleh Josiah Ng dan Rizal Tisin perlu diteruskan dengan bakat baharu agar sukan berbasikal terus mengharumkan nama Malaysia di peringkat tertinggi. Selain daripada kejurulatihan yang spesifik, sukan ini juga memerlukan kepada venue latihan yang bertaraf antarabangsa bagi melatih bakat atlet sejak dari usia muda.

Berikut merupakan kisah antara velodrom berbasikal yang ada dan sedang dibina di Malaysia.

1. Velodrom Rakyat Ipoh

Kredit gambar: https://www.nst.com.my/sports/cycling/2018/06/377278/new-twist-amarjit-says-velodrome-rakyat-can-be-used

Velodrom Rakyat terletak di Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh, bersebelahan dengan Stadium Tertutup Indera Mulia dan Stadium Hoki Sultan Azlan Shah. Velodrom itu mula dibina pada tahun 1985 dan siap empat tahun kemudian atas usaha gigih Tan Sri G. Darshan Singh yang merancang dan mencari dana bagi menyiapkan venue tersebut.

Tan Sri G. Darshan Singh bukanlah nama yang asing bagi sukan berbasikal di negara kita. Pada tahun 1988, beliau telah dilantik sebagai Presiden Malaysian National Cycling Federation (MNCF) dan pada tahun 1993 pula, beliau dilantik menjadi sebagai Setiausaha Agung Asian Cycling Confederation (ACC). Empat tahun kemudian, beliau telah dipilih secara sebulat suara untuk menjawat jawatan sebagai presiden kepada Asian Cycling Confederation (ACC) dan juga sebagai ahli lembaga pengurusan untuk International Cycling Union (UCI) iaitu sebuah badan untuk sukan berbasikal dunia.

Beliau merupakan seorang pencinta sukan berbasikal yang sanggup bersusah-payah mengutip derma rumah ke rumah, mencari dana awam dan persendirian untuk pembinaan Velodrom Rakyat. Sebanyak RM3.25 juta berjaya dikumpulkan oleh beliau dan hasilnya, Velodrom Rakyat mula digunakan sebagai venue acara berbasikal bagi temasya Sukan Sea 1988. Selepas itu, venue ini juga pernah menganjurkan beberapa kejohanan utama dunia seperti Piala Trek Dunia 2000, Kejohanan Berbasikal Dunia B 1997 dan Kejohanan Lumba Basikal Asia 1991.

Terdapat beberapa isu penyelenggaraan yang membantutkan penggunaan Velodrom Rakyat selepas itu. Antara masalah paling ketara adalah ketiadaan bumbung yang akhirnya merosakkan struktur kayu di sekeliling velodrom. Venue tersebut kemudiannya dibaikpulih oleh Kerajaan Negeri Perak melalui peruntukan Kementerian Belia dan Sukan dan kembali digunakan semasa temasya Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun 2018.

Velodrom Rakyat kini memiliki sijil homologation daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi membolehkan ia menganjurkan kejohanan sukan berbasikal tempatan dan antarabangsa.

2. Velodrom Nasional Nilai

Kredit gambar: https://www.astroawani.com/foto-malaysia/kemegahan-velodrom-nasional-malaysia-4438/bekas-pelumba-basikal-negara-datuk-ng-joo-ngan-44471

Velodrom Nasional yang menelan kos pembinaan RM80 juta mula dibina pada Januari 2015 dan diserahkan secara rasmi kepada Kementerian Belia dan Sukan pada Mei 2017. Velodrom tersebut mula digunakan bagi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Para Asean. Ia merupakan velodrom tertutup pertama di Asia Tenggara.

Pembinaan Velodrom Nilai dikendalikan sendiri oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). Ia mempunyai trek sepanjang 250 meter yang diperbuat daripada kayu jenis spruce dengan kapasiti 1,800 tempat duduk penonton serta dilengkapi kemudahan lain seperti ruang pejabat, surau serta 20 fasiliti untuk kegunaan orang kurang upaya (OKU).

Velodrom ini merupakan satu-satunya venue yang mendapat pengiktirafan tertinggi apabila diberikan pensijilan Kelas 1 oleh Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI). Ia dirasmikan lima jaguh berbasikal negara – Datuk Ng Joo Ngan, M. Kumaresan, Rosman Alwi, Josiah Ng dan juara keirin dunia, Datuk Mohd Azizulhasni Awang pada satu majlis penuh gilang gemilang pada Mei 2017.

Program skuad trek negara yang melibatkan sepuluh orang pelumba lelaki dan wanita juga menggunakan velodrom berkenaan yang turut mempunyai kemudahan asrama. Majlis Sukan Negara juga meletakkan program pelapis di velodrom ini selain program Junior Cycling Malaysia turut berpangkalan di sini.

3. Velodrom Azizulhasni Awang Dungun

Kredit gambar: https://www.hmetro.com.my/arena/lain/2021/02/675511/velodrom-inspirasi-azizulhasni-hampir-siap

Velodrom Azizulhasni Awang di Kampung Balai Besar, Dungun merupakan sebuah kompleks sukan berbasikal yang mula dirancang sejak tahun 2010 dijangka siap pada April 2022. Projek tersebut bernilai RM11.8 juta yang dimulakan pada Disember 2019 namun tertangguh akibat pandemik.

Berdasarkan perancangan asal, projek itu sepatutnya siap akhir tahun ini. Venue ini dirancang bukan sekadar menjadi pusat latihan sahaja, sebaliknya dijangka mampu menganjurkan kejohanan sekurang-kurangnya di peringkat kebangsaan. Bagaimanapun, reka bentuk velodrom tersebut mengundang persoalan mengenai spesifikasi UCI.

Ketiadaan beberapa spesifikasi utama seperti bumbung, tempat duduk penonton dan laluan ambulans tidak melayakkan fasiliti tersebut untuk menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa. Penilaian awal Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) terhadap Velodrom Azizulhasni Awang mendapati venue itu boleh diletakkan dalam Kategori 4 Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI). Ini bermakna, velodrom itu tidak dibenarkan untuk menganjurkan sebarang kejohanan antarabangsa.

Kategori 4 hanya boleh menganjurkan kejohanan peringkat negeri sehingga ke peringkat kebangsaan. Menurut PKBM lagi, venue tersebut lebih kepada fasiliti latihan yang dibina bagi tujuan melahirkan bakat-bakat baru.

 

 

Bacaan Seterusnya