Kisah Faber-Castell Dan Kaitannya Dengan Vincent van Gogh

261 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1761, Kaspar Faber mula membuka syarikat alat tulis A.W. Faber. Kaspar pada awalnya merupakan seorang pembuat perabot. Pensel merupakan instrumen penting yang digunakan oleh pembuat perabot dan tukang kayu sepertinya.

Ketika didaftarkan, Faber-Castell menggunakan nama A.W. Faber. Tahun-tahun berikutnya, syarikat Kaspar meniti kejayaan demi kejayaan di seluruh dunia. Pada tahun 1849, mereka mula meneroka pasaran Amerika Syarikat dengan cawangan pertama di New York. Tahun 1851, A.W. Faber mempunyai cawangan di London, Paris pada 1855, Vienna pada 1872 dan St. Petersburg pada tahun 1874.

Melalui visi cucu Kaspar iaitu Johann Lothar Freiherr von Faber, A.W. Faber terus unggul meneroka pasaran baru. Perkahwinan antara cucu perempuan Johann dengan keluarga bangsawan Castell membawa kepada nama Faber-Castell.

Pada hari ini, jenama Faber-Castell merupakan pembuat pensel tertua yang masih beroperasi di Amerika Syarikat. Ia memiliki 14 buah kilang dan 20 unit jualan. Enam daripadanya di Eropah, empat di Asia, tiga di Amerika Utara dan lima di Amerika Selatan. Selain itu juga, Faber-Castell turut memiliki kilang di Malaysia, Australia dan New Zealand.

Seramai 7,000 pekerja dianggarkan bekerja bersama kumpulan ini. Kumpulan ini juga menjalankan perniagaan mereka di 100 buah negara.

Rahsia keunggulan jenama Faber-Castell bukan hanya terletak kepada kualiti produknya. Bayangkan, pelukis teragung seperti Vincent van Gogh turut memuji pensel keluaran Faber!

Vincent van Gogh dan Faber-Castell

Kredit gambar: Lindsay and Patrick

Beliau hanya hidup selama 37 tahun, iaitu sekitar tahun 1853 hingga 1890. Selama satu dekad, sebanyak 2,100 karya dihasilkan oleh van Gogh. Daripada jumlah tersebut 860 lukisan minyak dihasilkan beliau pada dua tahun terakhir hayatnya.

Vincent van Gogh dianggap sebagai pelukis teragung dari benua Eropah yang pernah hidup. Namun begitu, semasa hayatnya lukisan van Gogh tidak mempunyai nilai komersil seperti hari ini. van Gogh akhirnya membunuh diri dan mati akibat dari tembakan pistol yang tidak dirawat.

Lukisan van Gogh pada hari ini merupakan lukisan paling diminati oleh pengumpul lukisan. Kumpulan lukisannya juga dianggap paling berharga dalam sejarah lukisan dunia. Antara karyanya, dua lukisan bernama L’Allée des Alyscamps terjual pada harga $66.3 juta pada tahun 2015.

Vincent van Gogh sangat meminati kualiti pensel Faber. Pada tahun 1883, beliau pernah mengesyorkan pensel tersebut kepada rakannya, Anthon van Rappard.

“Aku mahu menceritakan tentang sejenis pensel Faber yang aku temui. Pensel ini sangat tebal, lembut dan memiliki kualiti yang tinggi, jauh lebih baik berbanding pensel tukang kayu. Warna hitam dakwatnya sangat bermutu dan sempurna untuk lukisan.”

Sehingga hari ini, kata-kata van Gogh ini dianggap sebagai penghargaan tertinggi kepada jenama Faber-Castell.

Faber-Castell pada hari ini

Kredit gambar: YouTube

Kini, syarikat Faber-Castell masih mengekalkan ibu pejabat mereka di Stein, Jerman. Perniagaan mereka masih memfokuskan penghasilan pen, pensel, pensel warna dan alat tulis lain seperti pemadam dan pembaris.

Sebanyak 2.3 bilion pensel dihasilkan oleh Faber-Castell setiap tahun. Ia dikeluarkan dengan 120 warna berlainan. Bagi mengelakkan pensel terjatuh dari meja pelajar, bentuknya ditukar kepada bentuk heksagon dan segi tiga.

Bagi menyokong kelestarian alam, pensel Faber-Castell juga hanya dihasilkan dari sumber kayu yang boleh digantikan. Oleh yang demikian, syarikat ini berusaha untuk menanam sejumlah 20 kubik meter pokok setiap jam. Jumlah ini sebenarnya bersamaan dengan 1 lori kayu. Antara kayu istimewa yang digunakan oleh Faber-Castell ialah kayu cedar yang ditanam di kawasan Florida.

Bacaan Seterusnya