Kisah Lagu Negeri Perak Yang Tercipta Secara Tidak Sengaja

Sekitar tahun 1888, semangat kenegerian antara penduduk di Tanah Melayu masih lagi menebal. Ketika itu, belum ada lagi sistem yang benar-benar menyatukan kesemua negeri di dalam sebuah Persekutuan.

Semasa pemerintahan Sultan Idris Murshidul ‘Adzam Shah (Marhum Rahmatullah 1887-1916), berlaku peristiwa ulang tahun kemahkotaan Permaisuri Victoria yang ke-50. Ketika itu, Baginda baru setahun ditabalkan sebagai Sultan Perak.

Sebagai sebuah negeri yang menerima penasihat Inggeris, Sultan Idris turut dijemput untuk ke London. Kehadiran Baginda adalah bagi menghadiri sendiri istiadat ulangtahun kemahkotaan tersebut.

Kehadiran Sultan Idris ke London inilah yang menjadi titik tolak terciptanya lagu negeri Perak secara tidak sengaja. Menurut Tan Sri Abdul Mubin Sheppard di dalam bukunya Taman Saujana, negeri Perak merupakan negeri pertama yang memiliki lagu negeri yang tersendiri.

Lawatan Raja Chulan ke Seychelles

Kredit gambar: Wikipedia

Lagu kebesaran negeri Perak sebenarnya merupakan sebuah lagu Perancis. Ia ciptaan penggubah lagu warga Perancis, Pierre Jean de Beranger (1780-1857) yang bertajuk La Rosalie. 

Ketika Sultan Abdullah berada di pembuangan di Kepulauan Seychelles, baginda tinggal di sebuah rumah kayu berhadapan dengan pantai di Mahe. Sebelum penjajahan British, Seychelles berada di bawah kuasa Perancis.

Maka, budaya dan muzik Perancis masih lagi menebal dalam kalangan penduduk. Ketika itu, masih terdapat sekumpulan pemuzik Perancis yang kerap memainkan lagu La Rosalie ini. Anakanda Baginda, Raja Chulan yang datang melawat ayahandanya tertarik dengan susunan muzik tersebut dan turut memainkannya.

Apabila Raja Chulan pulang ke rumahnya di Taiping, lagu tersebut masih lagi menjadi siulannya. Ini turut sama menarik minat abangnya, Raja Mansur yang tinggal bersama-sama Raja Chulan.

Akhirnya, irama La Rosalie melekat di dalam mindanya.

Mengiringi Sultan Idris ke London

Kredit gambar: Look and Learn

Dengan latar belakang pendidikannya, Raja Mansur dipilih bagi menjadi juruiring (Aide-De-Camp) kepada Sultan Idris. Maka, ketika kemahkotaan Permaisuri Victoria, pegawai muzik Istana diarahkan bertemu dengan Raja Mansur.

Niat mereka adalah untuk mempelajari lagu kebesaran negeri Perak. Ini kerana, kehadiran Sultan Idris adalah sebagai tetamu khas diraja bagi Permaisuri Victoria. Maka, lagu kebesaran negeri akan dimainkan bagi menghormati Baginda.

Pada tahun tersebut, belum ada sebuah negeri di Tanah Melayu memiliki lagu negeri yang tersendiri. Namun begitu, untuk mengelak kesipuan, dengan bijaknya Raja Mansor telah menyatakan bahawa beliau terlupa membawanya. Namun sekiranya wakil Permaisuri dapat menyediakan seorang pakar muzik yang boleh membuat nota lagu, beliau boleh membunyikannya secara bersiul.

Lagu siulan beliau adalah lagu kegemaran adiknya, La Rosalie. Dari siulan tersebut, lagu kebesaran negeri Perak mula dimainkan secara rasmi di London.

Bacaan Seterusnya