Kisah Negara Yang Memiliki Lebih 40,000 Istana Tinggalan

Sejak abad ke-9 lagi, tuan tanah yang kaya raya akan membina mahligai seakan-akan istana dari binaan kayu. Pada mulanya, mereka membina istana ini bagi menangkis sebarang serangan dari puak Viking.

Istana ini biasanya dibina di kawasan berbukit, dengan memiliki menara yang tinggi. Ia juga dikelilingi oleh pagar yang kukuh. Namun, lama-kelamaan struktur kayu dilihat tidak sekukuh binaan istana dengan menggunakan batu.

Apatah lagi apabila pagar tersebut mudah dirosakkan dan dibakar oleh musuh yang menyerang. Maka, binaan istana tersebut mula diperbuat daripada batu bagi mengukuhkannya.

Peredaran zaman pertengahan kepada renaissance mengubah keperluan istana daripada pertahanan kepada pertunjukan kekayaan dan kemewahan. Biarpun begitu, ia tidak mengubah struktur dan binaan megah rumah-rumah ini.

Ini kisah negara Perancis yang kini memiliki lebih 40,000 buah istana tinggalan.

Sistem beraja yang panjang

Kredit gambar: Planet Ware

Biarpun terkenal dengan babak pembunuhan raja, Perancis dahulu merupakan negara yang mengamalkan sistem monarki. Sistem monarki yang panjang selama 861 tahun ini membawa kepada keberadaan ribuan kerabat dan orang-orang besar.

Louis Philippe I merupakan Raja Perancis yang terakhir, memerintah sebagai raja perlembagaan dari 1830 sehingga 1848. Selepas kejatuhan ekonomi yang teruk dan membawa kepada Revolusi Perancis, beliau dihalau keluar dari negaranya.

Sistem beraja yang panjang dan rumit ini membawa kepada ribuan keturunan diraja. Biarpun tidak lagi diiktiraf, mereka masih memiliki hartanah sejak berabad lamanya. Ia membawa kepada tinggalan istana-istana yang bertebaran di seluruh Perancis.

Dek kerana kedudukannya yang strategik, sepanjang Sungai Loire sahaja terdapat lebih daripada 300 buah istana. Raja Perancis seperti King Charles VII dan King Louis XI banyak menghabiskan masa mereka di sini. Istana yang mempunyai nilai yang signifikan pada sejarah biasanya dibuka sebagai galeri.

Kos selenggara yang sangat mahal

Kredit gambar: CNN

Oleh kerana jumlahnya yang sangat banyak, sesiapa sahaja yang berkemampuan boleh memiliki istana-istana ini. Pada tahun 2005, Stephanie Jarvis, YouTuber terkenal membeli Chateau de Lalande, sebuah istana tinggalan. Dengan harga serendah £590,000 ketika itu, beliau berjaya memiliki istana 40 buah bilik yang dibina pada abad ke-16.

Dek kerana pandemik, industri penginapan adalah yang paling terjejas. Maka, Stephanie Jarvis terpaksa  menggunakan medium YouTube bagi mendapatkan dana untuk menyelenggara Chateau de Lalande. 

Saluran YouTube beliau digunakan sepenuhnya untuk menarik penonton. Dinamakan sebagai The Chateau Diaries, Jarvis berjaya menarik lebih 173,000 penonton berdaftar di YouTube.

Beliau mengakui terkejut dengan kos selenggaraan istana miliknya. Sama seperti puluhan ribu istana yang lain, keluarga-keluarga tersebut sukar untuk membayar kos selenggaraan istana tinggalan.

Bacaan Seterusnya