Korea Utara Umumkan Kejayaan Ujian Peluru Berpandu

Korea Utara menembak peluru berpandu ke laut awal pagi semalam menurut agensi berita negara tersebut, Korean Central News Agency (KCNA). Ini mungkin ujian peluru berpandu balistik pertama sejak Amerika Syarikat ditadbir oleh pentadbiran Presiden Joe Biden. Menurut laporan tersebut lagi, peluru itu berjaya dilancarkan sejauh 600km daripada bahagian pesisir timur Kora Utara.


Ketua kakitangan bersama Seoul dalam satu kenyataan menyatakan bahawa ‘roket tidak diketahui’ telah dilancarkan oleh Korea Utara ke Laut Jepun, yang dikenali sebagai Laut Timur di Korea. Laporan dari Jepun pula dipetik menganggarkan jarak tembakan peluru tersebut sejauh 400km.

Siri ujian demi ujian oleh Korea Utara

Kredit gambar: https://www.independent.co.uk/news/world/americas/us-politics/north-korea-missile-tests-biden-b1821434.html

Laporan oleh agensi berita KCNA tersebut sebenarnya bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Korea Utara yang memiliki senjata nuklear dilarang membangunkan dan melancarkan sebarang peluru berpandu balistik di bawah resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Tindakan mereka semalam adalah yang siri pencabulan terbaharu terhadap resolusi berkenaan.

Selain daripada itu tindak tanduk mereka kali ini membimbangkan negara-negara serantau di Asia Timur. Mana tidaknya, peluru berpandu yang diuji mereka kali ini dilaporkan mampu membawa muatan 2.5 tan.

Ini memberikan 1001 kemungkinan kepada masyarakat dunia bahawa peluru berpandu ini mampu membawa bom nuklear.

Sejak dipimpin oleh Kim Jong-un pada tahun 2011 hingga hari ini, Korea Utara telah melancarkan lebih 1,000 peluru berpandu. Jumlah ini jauh melebihi apa yang dilakukan oleh bapanya sendiri Kim Jong-il sepanjang 1994 hingga tahun 2011 dan datuknya Kim Il-sung sejak dari tahun 197 sehingga 1994.

Jarak tembakan peluru berpandu Korea Utara

Kredit gambar: https://missilethreat.csis.org/country_tax/dprk/

Di dalam beberapa siri tembakan mereka sebelum ini, Korea Utara pada tahun 2020 melaporkan bahawa peluru berpandu antara benua milik mereka mampu mencapai jarak 13,000km. Sebenarnya bagi sebuah negara yang memberikan tumpuan kepada pertahanan berbanding pembangunan ekonomi, Korea Utara sangat aktif di dalam pembangunan persenjataannya.

Beberapa laporan yang dikeluarkan oleh pakar persenjataan menafikan peluru berpandu Hwasong-15 mampu mencapai jarak 13,000km seperti yang didakwa oleh Korea Utara. Jarak ini sentiasa menjadi ancaman kepada Amerika Syarikat kerana itulah radius yang kerap kali menjadi bahan ugutan terhadap mereka.

Namun begitu, sistem persenjataan Amerika Syarikat adalah antara yang terbaik di dunia. Sejak tahun 1950-an lagi negara Uncle Sam telah membangunkan sistem pemintas peluru berpandu sewaktu berhadapan dengan ancaman Soviet.

Sistem pertahanan anti-peluru berpandu di Korea Selatan

Kredit gambar: https://nationalinterest.org/blog/the-buzz/why-americas-thaad-deployment-south-korea-making-china-go-19785

Sejak dari tahun 2017, Tentera Amerika Syarikat telah memasang sistem pertahanan anti-peluru berpandu Terminal Altitud Tinggi (THAAD) di Korea Selatan. Sistem ini dipasang bagi menangkis ancaman ujian senjata Korea Utara.

Pasukan tentera AS di Korea Selatan berkata, THAAD sudah memulakan operasi dan mampu untuk memintas senjata dari Korea Utara.

Sebagai negara yang paling hampir dengan Korea Utara, Korea Selatan dilihat amat memerlukan kepada sistem ini bagi melindungi negara mereka dari ancaman peluru berpandu milik Korea Utara.

 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram