Kucar Kacir Pendaftaran CIMS 3.0 Dan Impaknya Terhadap Peniaga

Orang awam dan syarikat diberi tempoh sehingga hari ini bagi mendapatkan surat terkini daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk kebenaran bekerja serta beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) yang berkuat kuasa sejak Selasa lalu. Peluang selama tiga hari (Selasa, 1 Jun 2021 hingga Khamis, 3 Jun 2021) diberikan oleh PDRM selaras dengan arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.

Semakan kami ke laman web notifikasi MITI pada 11.30 pagi, 3 Jun 2021 melihatkan ianya dapat berfungsi dengan baik.

Apa arahan awal daripada Ketua Polis Negara? 

Kredit gambar: https://www.malaysiachinainsight.com/2021/04/30/acryl-sani-dilantik-ketua-polis-negara-baharu/?lang=ms

Sebelum ini, kebanyakkan syarikat dan perniagaan yang berada di dalam senarai perkhidmatan penting dilihat tidak dapat beroperasi akibat kegagalan laman web CIMS 3.0 kelolaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk memproses permohonan baharu. Pada 31 Mei 2021, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi perlu mendapatkan surat kebenaran pergerakan baharu daripada MITI.

Datuk Seri Acryl Sani sebelum ini dipetik berkata, surat kebenaran pergerakan dikeluarkan MITI ketika PKP sebelum ini tidak boleh diguna pakai lagi dan mereka perlu membuat permohonan baharu.

Penangguhan sementara daripada Ketua Polis Negara 

Kredit gambar: https://www.nst.com.my/news/nation/2020/10/631790/cmco-police-ready-mount-roadblocks-kl-selangor-putrajaya

Sehingga semalam, kebanyakan peniaga dikatakan masih lagi gagal melayari laman web CIMS 3.0 untuk memohon kebenaran beroperasi dipercayai akibat trafik yang terlalu tinggi. Selain itu juga, tiada talian khusus ditetapkan bagi pengoperasian sistem itu menyebabkan rata-rata pemohon buntu apabila mereka gagal mengemukakan permohonan berkenaan.

Pemilik perniagaan tidak mempunyai cara lain melainkan menutup operasi mereka selagi tidak mendapat sebarang kata putus. Ada juga yang merisikokan diri mereka untuk terus membuka perniagaan dengan menggunakan surat kebenaran yang dikeluarkan oleh MITI sebelum ini yang masih di dalam simpanan mereka.

Keadaan ini menyebabkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, memberikan kebenaran sementara untuk penangguhan bagi penggunaan surat kebenaran operasi oleh MITI. Sebagai alternatif, orang ramai boleh menggunakan surat kebenaran pergerakan daripada mana-mana kementerian dan jabatan berkaitan untuk sementara waktu bagi melepasi sekatan jalan raya.

Datuk Seri Acryl Sani juga berkata surat itu boleh digunakan sehingga sistem permohonan melalui portal seliaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dapat beroperasi secara menyeluruh.

95,142 syarikat berjaya mendapatkan kebenaran beroperasi 

Kredit gambar: https://www.nst.com.my/news/nation/2021/05/694744/one-stop-centre-authorisation-letters-under-miti-established

Apakah yang dimaksudkan dengan essential service? Menurut laman web rasmi Perdana Menteri Malaysia, essential service ditakrifkan sebagai perkhidmatan perlu. Media dan kementerian lain pula mentakrifkan maksud essential service sebagai perkhidmatan penting bagi negara.

Laporan media pada hari Isnin menyebut sejumlah 95,142 buah syarikat yang tersenarai di dalam perkhidmatan penting yang dibenarkan beroperasi oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI). Berdasarkan jumlah tersebut, dianggarkan seramai 1.2 juta pekerja dibenarkan untuk bekerja di premis syarikat dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Jumlah itu adalah 18 peratus berbanding daripada 517,144 syarikat dengan 9.67 juta pekerja yang berdaftar di bawah Covid-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0) kelolaan kementerian tersebut.

Keperluan mendesak penambahbaikan sistem CIMS 3.0

Kredit gambar: https://www.edisi9.com.my/2020/11/usaha-perkasa-perniagaan-bumiputera-mesti-holistik/

Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang bermula pada 1 Jun 2021 ini membuatkan pemilik perniagaan berpusu-pusu mendaftar dan menyemak status pendaftaran syarikat mereka di laman web MITI. Arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara sehari sebelumnya juga diilihat mengelirukan kerana ia menetapkan syarikat untuk memohon kepada Kementerian yang berwajib di bawah kelolaan perniagaan masing-masing. Arahan tersebut kemudiannya dibatalkan saat-saat akhir.

Ini menyebabkan ramai pemohon menjadi keliru apabila diarah mengemukakan permohonan ke kementerian tertentu dan tidak lagi berpusat di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) beberapa hari selepas pegumuman mengenai sekatan pergerakan penuh.

Kritikan ini juga dilemparkan oleh Presiden Dewan Perdagangan ASEAN, Datuk Suhaimi Shahadan yang berkata keadaan itu menggambarkan kerajaan seolah-olah tidak bersedia untuk melaksanakan sekatan pergerakan penuh, walaupun sudah lebih setahun berdepan keadaan hampir sama.

Menurut beliau lagi, sekatan pergerakan ini sudah berlarutan selama setahun setengah dan kerajaan sepatutnya sudah ada pengalaman serta lebih bersedia. Kementerian yang terbabit seharusnya sudah ada pangkalan data mengenai pengusaha sektor ekonomi mengikut senarai perlu dan lain-lain, selain memberi kelulusan automatik kepada pemohon mengikut kriteria terbaharu. 

Perniagaan apa yang tidak memerlukan surat MITI?

Kredit gambar: https://hmmahir.com/2018/

Kementerian Pengangkutan juga mempunyai sistem yang seakan-akan sama dengan CIMS oleh MITI, iaitu Sistem Maklumat Industri Logistik (SMILE). Sistem ini mengeluarkan surat kebenaran beroperasi kepada syarikat di bawah industri penghantaran, logistik dan pengangkutan yang disenaraikan di bawah perkhidmatan penting. 

Semakan di laman web SMILE menyenaraikan perniagaan yang sepatutnya berdaftar dengan Kementerian Pengangkutan di bawah sektor syarikat pengangkutan dan logistik iaitu:

  1. Pengangkutan Udara/Darat/Maritim
  2. Pelabuhan
  3. Freight Forwarder
  4. Ejen Kastam
  5. Ejen Perkapalan
  6. Kren
  7. Pergudangan
  8. Servis kepada Bot dan Pelabuhan
  9. Perkhidmatan Sewa Kenderaan

Selain itu juga, perniagaan-perniagaan di bawah kenderaan perdagangan juga perlu berdaftar di bawah sistem ini seperti: 

  1. Lori dan haulier
  2. Bas
  3. Teksi
  4. Courier

Ini pula merupakan senarai perniagaan yang tidak boleh mendaftarkan perniagaan di bawah sistem SMILE: 

  1. Bengkel Kereta
  2. Pembinaan
  3. Peniaga makanan
  4. Kedai runcit
  5. Perladangan dan Komoditi
  6. Pertanian
  7. Kejuruteraan

Syarikat yang telah memperolehi kebenaran beroperasi melalui SMILE boleh terus memuat turun surat kebenaran beroperasi. Manakala bagi permohonan pengesahan pengoperasian baru bagi syarikat-syarikat logistik dan pengangkutan komersial melalui SMILE akan diproses dalam tempoh 72 jam mengambil kira bilangan pemohonan baru yang diterima terlalu tinggi dan keupayaan memproses permohonan.

Kredit gambar: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/06/696324/peniaga-kecil-penjaja-harap-dibenarkan-beroperasi-secepat-mungkin

Peniaga dan penjaja kecil yang berdaftar di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga dilaporkan tidak perlu mendaftar di bawah sistem CIMS 3.0. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam satu kenyataan, memaklumkan ia memadai dengan hanya menunjukkan permit penjaja yang dikeluarkan PBT.

Namun begitu, sekiranya lokasi perniagaan membabitkan pergerakan merentas daerah maka peniaga perlu mendapatkan kebenaran polis dengan mengemukakan bukti permit penjaja oleh PBT terbabit.