Laporkan Kesalahan Trafik Kepada JPJ Dengan Langkah Mudah Ini

Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah mendedahkan statistik kemalangan jalan raya bagi tahun 2020. Statistik tersebut menunjukkan trend penurunan sebanyak 24.9% berbanding data tahun 2019. Berpandukan data yang diperoleh daripada PDRM, tahun lalu mencatatkan sebanyak 4,634 kes kematian akibat kemalangan jalan raya, mewakili penurunan sebanyak 1,533 kes.

Pada tahun 2019 pula, sebanyak 6,167 kematian dicatatkan akibat kemalangan jalan raya. Namun begitu, penurunan statistik bagi tahun 2020 sebenarnya telah dijangka. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini telah menghadkan pergerakan orang ramai di atas jalan raya.

Pembukaan sempadan negeri mulai Isnin, 11 Oktober 2021 bakal menyebabkan pertambahan pergerakan kenderaan berlipat kali ganda. Faktor kecuaian pemandu sebenarnya merupakan punca utama berlakunya kemalangan maut. Sebagai pengguna jalan raya, anda boleh melaporkan kesalahan-kesalahan ini kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Berikut dikongsikan langkah mudah untuk pengguna jalan raya membuat aduan kesalahan trafik melalui e-mel.

Cara menulis aduan melalui e-mel

Kredit gambar: Malaysia Gazette

Mulakan e-mel dengan lengkapkan butiran anda sebagai pengadu. Butiran pengadu yang diperlukan adalah seperti berikut:

  1. Nama penuh pengadu;
  2. No kad pengenalan pengadu;
  3. Alamat kediaman pengadu; dan
  4. No telefon pengadu.

Kemudian, sertakan juga butiran kesalahan lalu lintas yang anda lihat dengan bukti dan maklumat di bawah:

  1. Laporan ringkas aduan;
  2. Jenis kenderaan;
  3. Tarikh dan masa;
  4. No plat pendaftaran kenderaan pesalah;
  5. Tempat kejadian dan;
  6. Salinan gambar atau video berkaitan kejadian tersebut.

Hantarkan maklumat yang lengkap ke e-mel ini: aduantra[email protected]

Kebanyakan kereta kini dilengkapi dengan sistem dashcam yang canggih. Ini masanya untuk pengguna jalan raya menggunakan dashcam tersebut dengan sebaiknya.

Contoh-contoh kesalahan yang boleh dilaporkan

Kredit gambar: Gempak

Antara contoh kesalahan lalu lintas yang boleh dilaporkan adalah seperti berikut:

  1. Memandu melebihi had laju menurut Kaedah 3, Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Had Laju) 1989;
  2. Tidak mematuhi isyarat lalu lintas menurut Subseksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987;
  3. Memotong di garisan berkembar menurut Subseksyen sama; dan
  4. Memandu di lorong kecemasan Kaedah 53, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (1959).

Pemandu tidak dibenarkan merakam apa-apa kejadian

Kredit gambar: Brake

Menggunakan telefon bimbit semasa memandu adalah kesalahan di bawah Kaedah 17A, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (1959). Ini bermakna, pemandu adalah dilarang sama sekali untuk merakam apa-apa kesalahan lalu lintas semasa mereka sedang memandu.

Penghantaran video dashcam ataupun gambar dan video yang dirakam oleh penumpang adalah dibenarkan.

Bacaan Seterusnya