Larry Page Dan Sergey Brin Kini Menyertai Kelab Eksklusif USD 100 Bilion

Pengasas Google, Larry Page dan Sergey Brin kini dilaporkan menyertai kelab bilionair eksklusif dengan aset melebihi USD 100 bilion (RM413 bilion). Setakat ini hanya terdapat lapan orang bilionair di dalam senarai tersebut.

Larry Page dan Sergey Brin yang mengasaskan Google pada tahun 1996 kini menyertai Jeff Bezos, Elon Musk, Bill Gates serta hartawan yang lain di dalam senarai eksklusif itu. Daripada lapan hartawan tersebut, enam daripada mereka mencipta kekayaan daripada sektor teknologi seperti Amazon, Tesla, Microsoft, Facebook dan kini Alphabet.

Peningkatan kekayaan Larry Page dan Sergey Brin adalah disebabkan peningkatan nilai saham Alphabet sebanyak 32 peratus pada tahun ini. Alphabet merupakan syarikat induk kepada Google. Nilai kekayaan Larry Page meningkat sebanyak USD 21 bilion (RM86.8 bilion) manakala Serget Brin sebanyak USD 20 bilion (RM82.6 bilion).

Kedua-dua mereka menguasai 51 peratus daripada saham pengundian kelas khas Alphabet yang memberikan mereka kuasa penuh bagi menentukan masa depan syarikat tersebut. Mereka turut memiliki 11.4 peratus daripada syarikat Alphabet yang kini diunjurkan bernilai USD 1.5 trilion (RM6.201 trilion).

Kelab bilionair eksklusif dengan aset melebihi USD 100 bilion ini pada mulanya hanya dianggotai oleh Bill Gates pada tahun 1999. Hanya setelah 18 tahun kemudian barulah Jeff Bezos menyertai beliau iaitu pada tahun 2017. Sejak dari itu, kekayaan Jeff Bezos meningkat hampir sekali ganda dengan kini dianggarkan bernilai USD 197 bilion (RM814.39 bilion).

 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram