Lebih 12,000 Visa Umrah Bagi Jemaah Antarabangsa Telah Diluluskan

Laporan Saudi Gazette memaklumkan, lebih 10 juta jemaah menunaikan umrah sejak 4 Oktober tahun lalu. Ia susulan pelancaran prosedur ‘umrah selamat’ di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Selain itu juga, amalan harian dan ibadah secara normal dibenarkan secara beransur-ansur.

Kementerian Haji dan Umrah juga telah meluluskan lebih 12,000 visa kepada jemaah dari luar negara. Visa tersebut mula dikeluarkan sejak Arab Saudi dibuka semula bagi menerima kedatangan jemaah antarabangsa pada 10 Ogos lalu.

Menurut pihak Kementerian Haji dan Umrah, melindungi kesihatan dan keselamatan jemaah adalah misi utama mereka. Kementerian juga menggesa agar semua pihak mengikuti arahan dan mematuhi langkah pencegahan yang telah ditetapkan. Ini bagi mengelakkan berlakunya penyebaran wabak Covid-19.

Arab Saudi menyasarkan 3.5 juta jemaah dan pelawat mengunjungi Masjidil Haram dan Masjid Nabawi dalam tempoh sebulan.

SOP untuk jemaah tempatan dan antarabangsa

Kredit gambar: Reuters

Antara Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Haji dan Umrah ialah meletakkan had jemaah. Biarpun bersaiz 356,000 meter persegi dan mampu memuatkan 4 juta jemaah, Masjidil Haram hanya membenarkan 70,000 jemaah sehari.

Vaksinasi penuh adalah prasyarat untuk kebenaran kepada jemaah umrah dan jemaah lain yang ingin mengunjungi Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Permit menunaikan umrah dikeluarkan melalui aplikasi Tawakkalna.

Pelawat antarabangsa perlu mendaftar status vaksinasi di aplikasi tersebut seawal 72 jam sebelum melakukan perjalanan ke Arab Saudi. Kawalan dan syarat untuk kedatangan jemaah termasuk pengesahan imunisasi dengan vaksin yang diluluskan.

Kerajaan Arab Saudi juga kerap memperbaharui senarai negara yang dibenarkan memasuki negara itu berdasarkan perkembangan pandemik.

Kadar vaksinasi di Arab Saudi

Kredit gambar: Arabian Business

Menurut pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi, seramai 17.5 juta penduduknya telah menerima suntikan vaksin yang lengkap. Jumlah tersebut mewakili lebih 50 peratus penduduknya yang berjumlah 35.01 juta.

Statistik terkini menunjukkan sebanyak 23.02 juta penduduknya pula telah menerima satu dos suntikan. Enam vaksin yang diluluskan di Arab Saudi adalah AstraZeneca, Pfizer-BionTech, Johnson & Johnson, Moderna, Sinopharm, dan Sinovac.

Pemberian vaksin untuk individu berusia 12 tahun ke atas juga telah diluluskan. Pentadbirannya menjangkakan imuniti kelompok bakal dicapai pada bulan Oktober, dengan 450,000 dos suntikan diberikan setiap hari.

Status ibadah umrah rakyat Malaysia

Kredit gambar: New Straits Times

Biarpun berada di dalam senarai yang dibenarkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi, kerajaan Malaysia masih belum membenarkan apa-apa kebenaran. Bulan lalu, kerajaan memaklumkan ia sedang meneliti beberapa prosedur termasuk berkaitan visa sebelum memberi kelulusan. Namun setakat hari ini, belum ada sebarang maklumat terkini.

Pengumuman oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi tentang penggunaan visa pelancongan mungkin mengundang kelegaan. Setakat ini, pemegang visa pelancongan boleh melakukan ibadah umrah, selepas mendapatkan permit melalui aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna.

Bagaimanapun, terdapat jangkaan peningkatan kos menunaikan umrah selepas ini. Peningkatan kos itu berkait dengan penjarakan fizikal seperti had muatan bilik hotel dan bas.

Bacaan Seterusnya