Malaysia Akan Jerebu Lagi, Indonesia Umum Darurat Kebakaran Hutan

Like dan Follow Facebook Rencah di bawah sekarang.

Musim jerebu mungkin akan tiba di Malaysia dalam masa terdekat selepas Kalimantan Tengah mengumumkan darurat semalam (1 Julai).

Pengumuman dibuat selepas pihak berkuasa mengenalpasti lebih 700 kebakaran hutan yang dijangka akan mencetuskan musim jerebu tahunan di Asia Tenggara.

Pengumuman darurat itu dibuat sebagai langkah pihak berkuasa Indonesia untuk melindungi khazanah hutan tropika yang masih belum terbakar.

Bagaimanapun Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia mengumumkan usaha tersebut menjadi sukar berikutan pengurangan bajet pihak berkuasa berikutan impak wabak COVID-19.

Ketua Greepeace Indonesia, Kiki Taufik berkata pengurangan bajet ini bakal memberi kesan lebih buruk kepada kebakaran hutan dan mungkin akan memaksa penduduk terpaksa memadam sendiri kebakaran.

“Titik panas kebakaran berpotensi menyebabkan kebakaran lebih besar dan merebak ke kawasan hutan terpencil, terutamanya di kawasan yang pernah terbakar pada tahun 2019.

“Jerebu tahun ini juga berpotensi menjadi seteruk, jika tidak lebih teruk daripada tahun lepas.”

Wilayah Kalimantan Tengah dijangka akan kekal berada di bawah perintah darurat sehingga 28 September. Kerajaan menetapkan tahap darurat di wilayah tersebut berada pada tahap pertama, iaitu tahap amaran yang menuntut peningkatan rondaan dan usaha pemadaman api awal.

Alpius Patanan, pegawai Agensi Pengurusan Bencana Kalimantan Tengah berkata, “Usaha memadam kebakaran hutam sedang dilakukan kerana hampir semua kawasan di Kalimantan Tengah sedang mengalami musim kemarau pada bulan Julai.”

Wliayah Kalimantan Tengah merupakan kawasan yang menempatkan ribuan hektar ladang kelapa sawit, antara eksport utama ekonomi Indonesia.

Indonesia merupakan pengeluar minyak kelapa sawit terbesar di dunia.

Amalan menebang dan membakar hutan untuk dijadikan ladang kelapa sawit menjadi punca utama krisis jerebu di Asia Tenggara. Ia juga menjadi punca utama ribuan haiwan liar seperti orang utan dan harimau Sumatera hilang habitat sehingga pernah menjadi subjek boikot dari Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.

Pada tahun 2019, kebakaran hutan memusnahkan 1.6 juta hektar hutan di Indonesia dan menyebabkan salah satu krisis jerebu paling teruk pernah dihadapi oleh negara-negara jiran di Asia Tenggara.

Indonesia salahkan Malaysia penyebab jerebu

Semasa krisis jerebu yang teruk melanda di Malaysia pada tahun 2019, Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Siti Nurbaya mendakwa jerebu yang menyelubungi Malaysia berasal dari Sarawak.

“Saya akan menulis surat kepada duta besar Malaysia di Jakarta untuk disampaikan kepada menteri yang berkenaan. Ia bagi mendapatkan fakta yang tepat.

“Pemerintah Indonesia gigih bekerja untuk menyelesaikan isu jerebu dengan sebaik-baiknya. Tidak semua jerebu berasal dari wilayah di Indonesia,” katanya.

Menteri berkenaan turut meminta kerjasama kerajaan Malaysia menyampaikan fakta yang tepat mengenai jerebu itu.

“Ada maklumat yang mereka tidak dedahkan. Sebenarnya jerebu yang menyelubungi Malaysia hingga ke Kuala Lumpur dan Semenanjung Malaysia berasal dari Sarawak dan mungkin sebahagian dari Kalimantan Barat.

“Seharusnya, kerajaan Malaysia mempunyai fakta sebenar untuk menjelaskannya,” katanya.

Siti Nurbaya juga menempelak sikap Singapura yang mendakwa jerebu yang menyelubungi Singapura berasal dari Riau.

Pada September 2019, sebanyak 2,649 sekolah di Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Sarawak ditutup akibat jerebu. Manakala bilangan kes penyakit asma dan konjuntivitis didapati semakin meningkat berdasarkan pemantauan daripada 31 klinik sentinel jerebu.                           

Susulan itu, Jabatan Alam Sekitar melakukan operasi pembenihan awam Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan juga Sarawak, terutamanya di kawasan-kawasan terjejas yang mempunyai bacaan IPU melebihi 150.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga mengumumkan bahawa Malaysia telah menawarkan bantuan kepada Indonesia untuk menangani kebakaran hutan kerana Malaysia mempunyai peralatan pengeboman air yang boleh digunakan. 

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) pula menyatakan ia menunggu ‘lampu hijau’ daripada Kabinet bagi mendraf Akta Jerebu Rentas Sempadan. 

Bekas menterinya Yeo Bee Yin berkata akta ini adalah untuk mengambil tindakan terhadap syarikat-syarikat Malaysia yang telah mengakibatkan jerebu di luar negara, bukan sahaja di Indonesia.             

Sumber:
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram