Masalah Kemurungan Dan Bantuan Sokongan Yang Boleh Diberikan

Kebanyakan rakyat Malaysia hari ini masih belum mempunyai maklumat tentang kemurungan, kesihatan mental dan kecelaruan mental. Salah faham, stigma dan diskriminasi juga sebenarnya masih berleluasa. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan Dan Morbiditi (2015), kebiasaan masalah kesihatan mental dalam kalangan orang dewasa adalah pada kadar 29.2 peratus manakala kanak-kanak adalah pada kadar 12.1 peratus.

Penyakit mental dijangka mampu menjadi masalah kesihatan kedua terbesar kepada rakyat Malaysia selepas penyakit jantung. Penyakit ini tidak mengira mangsa. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira umur, jantina, bangsa, status sosial atau pendapatan.

Mereka yang menderita gangguan mental biasanya dianggap gelisah, ganas dan tidak dapat diramalkan. Stigma dan diskriminasi sedemikian hanya akan menghalang individu tersebut daripada mendapatkan bantuan profesional dan rawatan awal. Jika kemurungan ini gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ianya boleh meningkatkan risiko tingkah laku bunuh diri.

Statistik PDRM kes bunuh diri Januari – Mei 2021

Kredit gambar: https://www.thestar.com.my/news/nation/2021/07/24/empty-syringe-issue-police-urge-recipients-to-lodge-reports

Statistik kejadian bunuh diri di Malaysia sebenarnya menunjukkan peningkatan yang sangat membimbangkan. Data Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menunjukkan kes bunuh diri pada tahun 2019 adalah sebanyak 609 manakala tahun 2020 sebanyak 631 kes dan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini pula sebanyak 468 kes dilaporkan.

Secara purata dua kes dilaporkan berlaku setiap hari sejak 2019 hingga Mei 2021. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan menasihatkan masyarakat umum, individu yang mengalami masalah seperti kewangan, kesihatan, tekanan perasaan atau kemurungan harus diberi bantuan atau sokongan bagi membendung tindakan bunuh diri.

Menurut Ahli Majlis Penasihat Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye pula, laporan Kementerian Kesihatan mengenai kes bunuh diri yang semakin meningkat di negara ini sangat membimbangkan. Tambah beliau lagi, 80 peratus daripada mereka yang berfikir untuk membunuh diri menunjukkan tanda-tanda amaran di mana ia tidak dilakukan untuk menarik perhatian, sebaliknya bagi mendapatkan bantuan.

Pandemik dan masalah mental

Kredit gambar: https://www.lajollalight.com/news/story/2021-01-15/ucsd-scientists-find-potential-predictive-indicators-of-clinical-depression-study-says

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, pandemik Covid-19 memberi impak ketara ke atas kesihatan mental. Ini merujuk kepada peningkatan jumlah kes bunuh diri sepanjang tahun lalu.

Pandemik Covid-19 ternyata memberi impak yang amat besar kepada kesihatan mental setiap individu di seluruh dunia dan tidak terkecuali rakyat Malaysia. Sesetengah individu berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan terutama ketika berada dalam keadaan tekanan yang melampau serta isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai.

Jika kemurungan ini gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ianya boleh meningkatkan risiko tingkah laku bunuh diri. Disebabkan itu masyarakat diminta untuk lebih cakna dan prihatin kepada ahli keluarga atau orang sekeliling dalam mengenalpasti simptom awal kemurungan yang boleh menyumbang kepada tingkah laku bunuh diri.

Tambah beliau lagi, terdapat beberapa perubahan tingkah laku yang akan ditunjukkan oleh individu berkenaan iaitu sentiasa kelihatan sedih dan murung, hilang minat terhadap aktiviti yang biasa dilakukan, sukar melakukan tugas harian seperti biasan dan tidak dapat tumpukan perhatian. Individu tersebut juga akan mengasingkan diri daripada kawan dan keluarga, mengalami gangguan tidur dan selera makan, bertindak agresif dan kasar terhadap diri sendiri dan orang sekeliling serta menyalahgunakan alkohol dan dadah.

Individu tersebut juga biasanya akan menyatakan perasaan hilang harapan atau bosan dengan hidup serta kehadirannya membebankan keluarga. Malah menyatakan keinginan untuk menamatkan riwayat hidup secara verbal atau penulisan. Jika terdapat gejala-gejala yang disenaraikan, individu ini dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat perubatan profesional dalam kadar yang segera bagi mengelakkan keadaan yang lebih buruk.

Bantuan sokongan yang boleh diberikan

Kredit gambar: https://www.huffpost.com/entry/what-to-know-before-finding-a-therapist_n_5aec5c14e4b041fd2d25d226

Mendapat sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan pastinya merupakan bahagian penting dalam membantu seseorang yang sedang mengalami penyakit mental. Seperti masalah kesihatan lain, seseorang yang menderita kecelaruan jiwa memerlukan kasih sayang dan sokongan tambahan.

Terdapat beberapa cara untuk keluarga dan rakan membantu orang yang mereka sayangi dalam perjalanan pemulihan mereka. Ketahui tentang tanda-tanda dan gejala penyakit mental yang berlainan. Mendidik diri sendiri tentang penyakit mental seseorang adalah asas pertama bagi memberikan sokongan kepada mereka.

Mendapatkan bantuan awal adalah sangat penting dalam merawat sebarang tekanan mental. Penghalang utama adalah stigma buruk terhadap mereka yang mempunyai tekanan, namun ia boleh dielakkan dengan sokongan keluarga yang sudah memahami tentang tekanan tersebut dan bersama membantu pesakit bagi mendapatkan sokongan.

Sekiranya anda memerlukan kepada perkhidmatan sokongan emosi, boleh menghubungi talian yang disediakan di bawah:

1. MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

2. Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan)

3. KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

4. Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929 (24 jam sehari, tujuh hari seminggu)

Bacaan Seterusnya