Maszlee Sedar Rakyat Sudah Muak Politikus Berebut Kuasa

Maszlee-Malik-Simpang-Renggam

Mantan Menteri Pendidikan semasa era pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan, Dr Maszlee Malik percaya rakyat Malaysia ketika ini sudah muak dengan politik percaturan kuasa oleh politikus elitis.

Kenyataan itu dibuat berdasarkan hasil fakta kajian lapangan serta tinjauan terperinci terhadap aspirasi serta kehendak rakyat terbanyak.

Oleh sebab itu, Ahli Parlimen Simpang Renggam tersebut mengambil keputusan untuk menarik diri sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja (AJK) penubuhan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang turut diasaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir.

“Rakyat mahukan ahli politik yang fokus berkhidmat dan benar-benar menyelesaikan masalah yang rakyat hadapi sekarang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sehubungan itu, Maszlee berkata, beliau akan meneruskan usaha dalam gerakan perubahan pendidikan melalui kapasitinya sebagai Ahli Parlimen Bebas.

Maszlee-Malik-Keluar-Pejuang

“Saya percaya, perubahan tidak memerlukan kedudukan dan jawatan, tetapi keinginan dan kesempatan,” katanya lagi.

Tindakan Dr Maszlee menarik diri daripada Parti Pejuang dipercayai berkait rapat dengan isu penularan Akuan Bersumpah yang ditandatangani beliau yang memberikan sokongan keada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehingga hari ini, Maszlee atau pegawainya tidak pernah mengesahkan atau menafikan berhubung Akuan Bersumpah yang tular itu.

Penjelasan Maszlee juga sekali gus menjawab pertanyaan kenapa namanya tidak disebut dalam kenyataan Pejuang berhubung sokongan ke atas Belanjawan 2021.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram