Mesej ‘Makan Dalam’ Pada Kain Rentang Ini Buat Anda Berfikir Panjang Untuk Keluar Rumah

Selepas sembilan hari sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan, masih terdapat individu atau kumpulan yang degil dan tidak mengendahkan arahan berkenaan dengan berpeleseran di tempat-tempat awam tanpa tujuan penting.

Bagi memberi kesedaran kepada orang awam, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Permatang Pauh telah mengambil inisiatif untuk memasang kain rentang yang mengandungi mesej-mesej yang berbentuk sindiran dan ‘makan dalam’.

 

Ketua AMK Pulau Pinang, Fahmi Zainol ketika dihubungi Rencah memaklumkan tujuan AMK bertindak sedemikian adalah kerana mereka menyayangi penduduk Permatang Pauh.

“Selain tugas hakiki yang dijalankan oleh pihak bertanggungjawab, memasang kain rentang sebegini merupakan salah satu tindakan untuk membuktikan kasih sayang kami pada masyarakat Permatang Pauh.

“Daerah Seberang Perai Tengah merupakan daerah yang ke-16 tertinggi dan yang daerah yang paling tinggi di Pulau Pinang dengan mencatatkan 23 kes positif Covid-19,” kata bekas aktivis gerakan mahasiswa itu.

“Dengan situasi sebegini, kami cuba berusaha untuk membantu warga Permatang Pauh yang tergolong dalam Daerah Seberang Perai Tengah.”

Fahmi menjelaskan, beliau dan rakan-rakan mendapat idea untuk membuat kain rentang tersebut selepas melihat kaedah yang sama digunakan di China yang dilaporkan menjadi punca kepada penularan wabak tersebut.

Sehingga Khamis, data dan statistik dari Kementerian Kesihatan menunjukkan peningkatan jumlah kes di Pulau Pinang semakin meningkat dengan tiga daerah di Seberang Perai mencatatkan 43 kes positif.

Seberang Perai Tengah adalah yang tertinggi di negeri itu dengan 23 kes, sementara Seberang Pertai Selatan mempunyai sembilan kes dan Seberang Perai Utara pula merekodkan 11 kes.

Malaysia setakat ini telah pun mencecah 2031 kes positif dengan 24 kematian. Sebanyak 43 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 32 kes memerlukan bantuan pernafasan. Hasil usaha keras pihak KKM, 215 kes telah sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai COVID-19:

Bacaan Seterusnya