Nasi Kandar Pekan Lama Antara Kedai Wajib ‘Try’ Jika Anda Ke Ipoh

Andai bertanyakan tentang makanan menarik di bandaraya Ipoh kepada pengunjung dari luar, pastinya Nasi Ganja Yong Suan dan Nasi Vanggey antara yang akan bermain di minda setiap daripada mereka. Kedua-dua kedai tersebut memang mempunyai tarikan tersendiri.

Namun, kita lupakan buat seketika mengenai dua kedai tersebut kerana tumpuan Rencah pada kali ini adalah untuk berkongsikan tentang ‘Nasi Kandar Pekan Lama’ yang terletak di Persiaran Bijih Timah, Kinta Heights, Ipoh.

Nasi Kandar Pekan Lama ini merupakan cetusan idea daripada Allahyarham [email protected] sejak zaman perang Jepun lagi dan kemudiannya perniagaan ini diwariskan kepada anaknya, Abdullah.

Antara menu di Nasi Kandar Pekan Lama. Kredit foto: Cutibajet.co

Tahun berganti tahun, Allahyarham Abdullah pula menyerahkan perniagaan tersebut kepada dua anaknya dan kini giliran cicitnya yang mesra dengan panggilan Ali menyambung legasi tersebut.

Ini menyaksikan Nasi Kandar Pekan Lama sudah diwarisi empat generasi Mathar.

Meskipun hanya berbekalkan kedai kecil, Nasi Kandar Pekan Lama sentiasa menggamit jumlah pelanggan yang cukup ramai dalam satu-satu hari terutamanya pada waktu kemuncak iaitu pada jam 12.30 tengah hari hingga 2.00 petang.

Bagi yang datang lewat, mungkin hanya dapat merasa kuah kari sahaja atau pulang dengan hampa!

Ayam rendang yang menjadi pilihan utama pelanggan 

Nasi Kandar Pekan Lama menjadi tumpuan terutamanya buat penduduk setempat di Ipoh kerana resipi ayam rendang dihasilkannya amat berbeza berbanding kedai-kedai lain. Nyata itu menjadi identiti tersendiri buat Nasi Kandar Pekan Lama.

Selain itu, kuah rendang yang ‘padu’ dengan kombinasi limpa dan daging serta disulamkan dengan air sirap juga akan membuatkan anda asyik dibuai kesedapan menikmati makanan di Nasi Kandar Pekan Lama.

”Di kedai saya, ayam rendang menjadi pilihan utama pelanggan kerana rasanya lain dari kedai lain. Kedai lain semua mereka buat ayam goreng sambal macam ayam merah tetapi kami masih mengekalkan ayam rendang.”

”Yang istimewanya juga ayam rendang ini kami giling sendiri rempah ratus dan cili yang dibeli juga adalah cili-cili yang cantik dan berkualiti,” ujar Ali berkongsikan keistimewaan antara menu pilihan pelanggan di Nasi Kandar Pekan Lama.

blank
Ali bersama ketua jurulatih skuad Liga Super Perak, Mehmed Durakovic yang tidak melepaskan peluang makan tengah hari di sini.

Sifat Ali yang cukup mesra serta mampu untuk berkomunikasi dalam pelbagai bahasa seperti Bahasa Melayu, Kantonis, Tamil dan Inggeris juga membuatkan para pelanggan begitu selesa dengannya.

Bagi anda yang belum pernah menikmati makan tengah hari di Nasi Kandar Pekan Lama, inilah masanya. Tengok gambar pun dah terliur kan!

Bacaan Seterusnya