Neelofa Kini Bergelar Duta Lancome Rantau Asia Tenggara

Neelofa

Like dan Follow Facebook Rencah di bawah sekarang.

Selebriti terkenal tanah air, Neelofa meluahkan rasa teruja yang tak terhingga selepas beliau dilantik sebagai duta pertama produk kecantikan dari Perancis, Lancome bagi rantau Asia Tenggara (ASEAN).

Pencapaian hebat pemilik nama penuh Noor Neelofa Binti Mohd Noor itu telah menjadikannya sebagai rakyat Malaysia pertama bergelar wakil jenama kosmetik gergasi itu di peringkat ASEAN dan turut menjadi duta pertama yang berhijab.

Dalam pada itu, menurut sumber Berita Harian (BH) Online, Neelofa turut beranggapan peluang diberikan dapat menyerlahkan imej seorang wanita muslim yang berhijab.

“Memecahkan tradisi bukanlah perkara mudah. Apabila menjadi orang pertama dalam sesuatu, orang akan memberi pandangan dari segi pujian dan kecaman berbeza. Tetapi, perkara menarik adalah perasaan teruja yang dilalui.”

“Menjadi wanita berhijab pertama mewakili rantau Asia Tenggara bukan sahaja membuatkan saya bangga sebagai rakyat Malaysia, malah orang Islam.”

“Ini kerana untuk produk antarabangsa memandang wanita hijab mewakili jenama mereka di peringkat Asia Tenggara sukar dijangka. Ia bermakna mereka memberi perhatian kepada pasaran orang Muslim,” jelas Neelofa kepada wakil BH Online. 

“Kita boleh lihat banyak wajah dari Korea Selatan dan Jepun melakukan kempen bersama jenama ini. Jadi, saya bersyukur pelantikan ini sebagai satu tanda aras pembabitan selebriti berhijab seterusnya.”

“Ia adalah perkara baharu apabila selebriti berhijab terpilih.”

“Saya nampak ini sebagai satu jihad apabila meletakkan nama Islam dan wanita berhijab di mata dunia. Saya berharap jalinan kerjasama ini boleh mendapat keberkatan daripada-Nya,” katanya.

Lahir pada 10 Februari 1989, Neelofa memulakan karier dalam bidang seni selepas bergelar juara Dewi Remaja 2009/10 di mana pada ketika itu beliau bersaing dengan Izara Aishah, Anzalna Nasir, Syatilla Melvin dan ramai lagi.

Antara filem dan drama yang dibintangi oleh Neelofa ialah Hantu Kapcai, Pilot Cafe, Kau Yang Terindah, Suri Hati Mr. Pilot, Tahajjud Cinta dan Red Velvet.

Selain bergelar model, pelakon dan pengacara televisyen, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini juga turut berkecimpung dalam bidang perniagaan apabila memperkenalkan jenama Naelofar Hijab yang dijual di lebih 23 negara termasuklah Brunei, Indonesia, Australia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan negara-negara di Eropah.

Kejayaannya dalam bidang keusahawanan telah mendapat pengiktirafan dalam dan luar negara. Sebagai contoh Neelofa tersenarai dalam Forbes Asia 30 Under 30 Class 2017,  The Inspiring Woman Award and The Iconic Role Model Award dan SME 2017 Celebrity Entrepreneur of The Year.

Kredit foto: Facebook Neelofa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram