Nelayan Acheh Selamatkan Bot Bawa 94 Pelarian Rohingya

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Like dan Follow Facebook Rencah di bawah sekarang.

Sekumpulan nelayan di Acheh, Indonesia bertindak menyelamatkan sebuah bot yang membawa 94 pelarian Rohingya – 79 daripadanya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak. Reuters melaporkan bot tersebut pada mulanya dirancang untuk dihalau semula ke laut oleh pihak berkuasa Indonesia.

Pihak berkuasa Indonesia di Acheh mengesahkan kesemua pelarian Rohingya tersebut telah dibawa ke darat dan diberi penempatan sementara di masjid. Amnesty International dilaporkan sedang bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di Indonesia untuk mengurus penjagaan dan dokumentasi semua pelarian.

Nelayan Acheh langgar arahan untuk selamatkan Rohingya

Difahamkan pada 24 Jun lepas, komuniti nelayan di utara Acheh mengesan kehadiran sebuah bot berisi pelarian Rohingya yang rosak di persisiran pantai Seunuddon.

Mereka kemudiannya memaklumkan kehadiran bot tersebut kepada pihak berkuasa. Pihak berkuasa tidak membenarkan bot tersebut untuk berlabuh. Sebaliknya mereka diberi bot baru, gasolin dan makanan oleh pihak berkuasa Indonesia sebelum diusir keluar.

Bagaimanapun tindakan pihak berkuasa itu nyata mengundang protes dari komuniti nelayan Acheh. Mereka kemudiannya bertindak melabuhkan bot tersebut dan menyelamatkan kesemua pelarian Rohinya.

Pihak berkuasa Indonesia tidak menentang tindakan nelayan Acheh tersebut.

“Kalau kerajaan tak mampu nak tolong [pelarian Rohingya], komuniti kami akan tolong. Sebab kita adalah sesama manusia. Mereka juga manusia. Kita mempunyai hati,” kata salah seorang nelayan, Syaiful Amri kepada Reuters.

Rakannya, Hamdani Yacob pula berkata:

“Apa yang kami buat ini hanyalah tanggungjawab perikemanusiaan dan menyambung tradisi kami sentiasa bantu-membantu. Kami berharap pelarian ini dapat dijaga dengan baik di kampung kami.”

Negara-negara sekitar Asia Tenggara dilaporkan semakin berat untuk menerima bot pelarian berikutan kebimbangan tentang wabak COVID-19.

Pelarian Rohingya dilaporkan lari dari insiden pembersihan etnik di Myanmar dan kem pelarian di Bangladesh. Mereka biasanya lari dengan menaiki bot antara November hingga April, ketika laut tidak bergelora, untuk meminta perlindungan di Malaysia, Thailand dan Indonesia.

Bagaimanapun wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia memaksa negara-negara Asia Tenggara menutup sempadan mereka daripada menerima kedatangan orang luar negara – apatah lagi pelarian.

Ini menyebabkan beratus-ratus orang pelarian Rohingya terkandas di laut tanpa sebarang prospek akan diselamatkan.

Amnesty International puji Acheh

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Amnesty International Indonesia, Usman Hamid memuji tindakan nelayan Utara Acheh yang menyelamatkan pelarian tersebut.

“Penurunan kumpulan pelarian Rohingya dari bot mereka hari ini merupakan detik solidariti dan optimisme. Pujian harus diberikan kepada komuniti di Acheh yang sanggup mengambil risiko demi menyelamatkan pelarian kanak-kanak, wanita dan lelaki. Mereka menunjukkan rasa kemanusiaan yang terbaik.

“Pada tahun 2015, ketika dugaan yang dialami oleh pelarian etnik Rohingya sedang memuncak, komuniti Acheh juga telah melakukan perkara sama.

“Tetapi berita gembira ini mesti diteruskan. Pelarian ini memerlukan perlindungan. Mereka perlukan sekuriti dan tempat berlindung.

“Kerajaan Indonesia mesti membekalkan pelarian ini dengan keperluan asas dan tidak boleh menghalau mereka ke laut semula. Menjelang persidangan ASEAN yang bakal bermula esok, kejadian hari ini menunjukkan betapa pentingnya dialog rantau perlu diadakan untuk mengelak pelarian terkorban di laut.”

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Share on facebook
Kongsi Di Facebook