Niat Puasa Setiap Malam Atau Niat Puasa Sebulan Sekaligus

Perlukah meniatkan puasa wajib anda di bulan Ramadan setiap malam atau sahkah jika hanya diniatkan sekali sahaja sepanjang Ramadan ini?

Apabila tibanya bulan Ramadan, timbul beberapa kemusykilan mengenai niat dan hukum, namun perkara yang sering menjadi tanda tanya dan persoalan ramai adalah mengenai hukum dan cara berniat puasa. Ada yang berpendapat puasa Ramadan boleh diniatkan 30 hari sekaligus, ada yang berpendapat sebaliknya.

Ini kerana berpuasa itu adalah satu ibadah. Dan sesuatu ibadah itu tidak sah melainkan disertakan bersamanya niat seperti mana solat.

Niat merupakan salah satu syarat sah berpuasa dan hukum berniat pada bulan puasa adalah wajib. Sekiranya seseorang itu tidak berniat, maka tidak sahlah ibadat puasa yang dilakukan.

Terdapat dua pandangan di dalam permasalahan ini

Kredit gambar: https://gvwire.com/2020/04/15/islams-holy-month-of-ramadan-adjusts-to-covid-19-restrictions/

Pertama: Boleh diniatkan terus sebulan berpuasa

Ini merupakan pendapat al-Imam Zufar dan al-Imam Malik. Mereka mengatakan bahawa berpadalah bagi seseorang itu untuk berniat sekali sahaja iaitu dengan meniatkan sebulan berpuasa pada awal permulaan niat.

Sebagai contoh, sepertimana solat yang mana seseorang itu hanya perlu niat dipermulaan solat dan tidak perlu mengulanginya pada rakaat-rakaat yang lain. Begitu juga pendapat kedua-dua Imam ini bagi ibadah puasa.

Kedua: Perlulah memperbaharui niat pada setiap malam.

Ini adalah pendapat jumhur berdasarkan keumuman hadis Hafsah Radiallahu Anha sebelum ini. Ini kerana, puasa itu setiap harinya adalah ibadah yang bersendiri (berbeza antara hari ke hari). Ia tidak terikat antara satu sama lain (dengan hari lain-lainnya). Puasa pada hari berikutnya juga tidak rosak sekiranya pada hari ini rosak. Tidak seperti solat yang mana sekiranya batal di rakaat pertama, maka batallah keseluruhan solat itu.

Adalah lebih baik berniat pada setiap malam, tidak pula dihalang berniat sebulan

Kredit gambar: https://www.moroccoworldnews.com/2020/05/301316/how-fasting-during-ramadan-benefits-the-body-and-spirit/

Mengikut sumber dari Irysad Al-Fatwa, Mufti Wilayah sebelum ini iaitu S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri lebih cenderung kepada pendapat jumhur iaitu perlu memperbaharui niat pada setiap malam.

Tambahan lagi, ia juga adalah pendapat mazhab kita, mazhab Syafie iaitu niat perlulah diperbaharui pada setiap malam untuk berpuasa Ramadan.

Walaupun ada pendapat yang mengatakan boleh berniat sekaligus untuk niat di awal bulan untuk berpuasa selama sebulan, maka pihak Mufti Wilayah katakan tiada masalah untuk melakukannya sebagai langkah berjaga-jaga. Dalam masa yang sama hendaklah seseorang itu berniat juga pada setiap malam.

Selamat berpuasa semua dari kami di Rencah.

Bacaan Seterusnya