Pantang Lepas Bersalin Tak Wajib Ikut. Doktor Ini Beri Sebab Mengapa.

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email
blank

Like dan Follow Facebook Rencah di bawah sekarang.

Amalan pantang selepas bersalin boleh dikatakan sudah menjadi kewajipan bagi ibu-ibu dalam masyarakat Melayu.

Antara amalan berpantang turun-temurun yang biasanya diwajibkan oleh golongan mak-mak kepada ibu-ibu muda adalah:

  • berjalan dengan perlahan
  • tidak boleh banyak bergerak
  • dilarang duduk bersimpuh
  • diet dan pantang makan ‘benda-benda gatal’
  • berurut
  • bertungku
  • memakai bengkung
  • mandian herba
  • memakai pilis di dahi

Amalan berpantang ini pula biasanya mengambil tempoh lama, antara 44 sehingga 60 hari.

Menurut kepercayaan masyarakat Melayu, amalan pantang selepas bersalin secaa tradisional ini penting kerana ia dapat mengembalikan semula bentuk badan sebelum bersalin dan mencapai tahap kesihatan yang tinggi semula.

Masyarakat Melayu percaya jika ibu-ibu tidak pantang selepas bersalin, badan akan dapat ‘bisa’ dan menjadi gemuk.

Bagaimanapun menurut pandangan perubatan moden, amalan berpantang tradisional Melayu ini ‘agak berlebihan’ walaupun ada manfaatnya.

Menurut Dr Imelda Balchin yang merupakan Profesor Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, tradisi ‘berpantang’ secara tradisional ini sebenarnya merupakan satu kemewahan untuk orang-orang yang kaya dan berada.

“Tahukah anda, yang hanya wajib dalam Islam ialah tidak membuat hubungan kelamin dengan suami selagi darah nifas belum kering (sampai had maksima 60 hari diberikan, bukan hanya 40 hari), dan boleh bersama suami lebih awal daripada 40 hari sekiranya darah nifas kering lebih awal dari 40 hari,” tulis beliau di Facebook.

“Benda-benda yang lain, semuanya bukan wajib. Yang penting ialah ibu-ibu diberi sokongan emosi dan diberikan sokongan dari semua ahli keluarga supaya ibu dapat menumpukan semua perhatiannya terhadap permintaan bayi yang baru dilahirkan. 

“Mungkin juga sokongan emosi boleh mengelakkan masalah meroyan, tetapi saya tak berani nak kata sama ada pantang traditional boleh mengelakkan meroyan, sebab belum lagi jumpa kajian yang membuktikan yang kaedah berpantang tradisional boleh mengelakkan meroyan selepas bersalin.

“Tahukah anda, untuk kesihatan ibu yang baru bersalin dan menyusu, mereka perlu minum secukupnya (3 Litre sehari), bukan menyekat keperluan kesihatan mereka. Kalau nak buat susu untuk bayi dengan secukupnya, ibu pun kena lah minum dengan secukupnya.

Embed from Getty Images

“Tahukah anda, untuk kesihatan ibu yang baru bersalin, pengaliran darah adalah sangat penting. Kaedahnya termasuk lah senaman yang ringan dengan kerap, dan kalau nak mengurut ini lah tujuannya. Kalau tak mampu mencari orang untuk mengurut, boleh membuat senaman yang ringan untuk pengaliran darah dari kaki ke jantung.

“Tahukah anda urat-urat hijau yang kembang di kaki tu (varicose vein) bukan disebabkan masuk angin. Ia sebenarnya bukan urat, tetapi saluran darah ‘vena’ yang membawa darah kembali dari kaki ke jantung.

blank

“Tidak ada angin di dalam saluran darah mahupun urat saraf di dalam badan kita. Orang-orang yang mengurut kena belajar sikit tentang sains biologi sebelum mengata macam-macam yang mereka tidak tahu.

“Untuk mencegah varicose vein atau untuk mengelak supaya ia tidak menjadi bertambah teruk, ini lah panduan untuk anda:

1) Senaman yang kerap untuk membantu pengaliran darah di kaki.

2) Kurangkan berat badan melalui penjagaan pemakanan dan senaman. Lagi gemuk badan kita, lebihlah lagi tekanan lemak badan dan berat badan kita ke atas vena kita dan ini melambatkan pengaliran darah dari kaki kembali ke jantung.

3) Elakkan berdiri lama-lama. Darah dari vena di kaki memerlukan bantuan otot kaki yang berjalan untuk mengepamkan pengaliran darah dari bawah ke atas bertentangan dengan graviti. Dengan sebab yang sama jangan duduk bersila, dan jangan duduk lama-lama sangat. Bangun dan berjalan. Walaupun anda pergi mengurut kaki dan badan, anda tidak boleh mengurut sepanjang masa. Satu-dua jam saja pengaliran darah sehari semasa mengurut, lepas tu duduk saja sepanjang masa itu masih tidak mencukupi.

4) Bila berjalan, elakkan memakai sepatu tinggi seperti stiletto. Ini menyebabkan perubahan posture badan dan melebihkan tekanan ke atas vena di kaki.

5) Bila tidur malam, tinggikan kaki sedikit di atas beberapa bantal supaya kaki lebih tinggi dari badan untuk membantu pengaliran darah dari kaki ke jantung semasa kita tidur.

6) Boleh juga memakai stokin TED (thrombo embolic disease) atau compression stocking yang ketat semasa tidur atau jika terpaksa berdiri atau duduk lama, untuk membantu pengaliran darah yang turun ke kaki supaya balik kembali ke jantung.

blank
Contoh stokin TED

7) Jika ada keraguan kerana varicose vein itu menggangu anda, rasa sakit, terdapat ulser di kulit kaki, atau bengkak kaki disebabkan varicose vein, silalah berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan untuk mendapatkan rujukan berjumpa dengan doktor bedah yang boleh mengikat dan menarik keluar vena itu jika perlu (ligation & stripping).

“Ada juga kaedah selain daripada pembedahan seperti endothermal ablation, radio frequency ablation, endovenous laser treatment atau ultrasound-guided foam scleroterapi, yang doktor boleh bincangkan.

“Tetapi selalunya doktor akan memberi nasihat 1-6 di atas dahulu juga, sebelum apa-apa rawatan. Dengan mengikut tips 1-6 di atas, masalah varicose vein boleh dielakkan atau dikurangkan supaya anda tidak memerlukan apa-apa rawatan.

“Varicose vein ini bukanlah datang kerana akibat tidak berpantang seperti apa yang netizen mengadu kepada saya. Varicose vein bukan lah sebab masuk angin. Jadi, janganlah ibu-ibu rasa bersalah jika tidak boleh berpantang. Terutama sekali jika mereka yang memaksa anda adalah jurujual yang hanya bertujuan mengaut keuntungan.

Dikritik oleh ibu-ibu yang berpegang teguh dengan amalan pantang lepas bersalin

Nasihat Dr. Imelda yang pada asalnya bertujuan untuk mendidik, telah dijadikan bahan sindiran pula oleh golongan ibu-ibu yang berpegang teguh dengan amalan pantang tradisional.

“Doktor Imelda tu terlalu moden, tak pantang lepas bersalin. Nanti bila umur dia 40 tahun rasalah sakit sana sini. Aku ikut petua nenek moyang aku, sihat je nenek aku sampai 90 tahun,” kata mereka.

Menjawab kritikan tersebut, Dr Imelda berkata:

“Ini jawapan saya kepada netizen yang dok buat komen macam ni…ialah….

“Hang ni…betoi kaaa ikut petua nenek moyang???? Hang tak tau pun apa nenek moyang hang buat. Yang hang tau tu tentang amalan berpantang selepas bersalin saja, tapi yang lain hang tak tau. Hang tau tak apa dia gaya hidup sihat dan cergas seumur hidup??? Hang tak tau.

“Zaman dulu, nenek pergi sekolah berjalan kaki, hang tak tau jalan kaki, hang tau naik kereta saja. Balik dari sekolah pun nenek berjalan kaki. Hang tau tak apa dia kecergasan? Haaa tu pun tak tau.

“Zaman dulu, bila nenek sampai sekolah tak guna poket money beli jajan, nenek tak beli kerepek-kerepek berproses tinggi kandungan garam macam hang, sebab takdak pun juai benda mengarut-ngarut kat kedai zaman dulu.

“Zaman dulu nenek dan kawan-kawan bukan saja makan buah-buahan semulajadi, depa cergas panjat pokok cari buah-buahan atau kait buah rambutan, depa buat banyak kerja fizikal, bukan macam hang yang dok pi beli kat supermarket saja.

“Zaman dulu selepas sekolah, nenek dan kawan-kawan main melompat atas sebelah kaki sambil kejar-kejar orang lain, depa takdak TV takdak computer takdak ipad. Hang main ipad, tengok TV saja tau. Tak tau apa dia kecergasan diri.

“Zaman dulu nenek basuh baju kena gonyoh dan tonyoh, kena bilas sendiri, bukan macam hang tekan butang mesin basuh saja. Mana kegiatan fizikal hang?

“Zaman dulu, nenek nak makan ayam kena pi tangkap ayam dulu. Depa bakar kalori sebelum boleh makan ayam. Hang ni duduk-duduk saja lepaih tu pi beli ayam goreng segera. Mana laa tak gemuk.

“Zaman dulu, nenek masak kena tumbuk-tumbuk dan giling-giling rempah. Depa kerja kuat, bukan macam hang pakai blender.

“Hang makan mengarut-ngarut, kongsi resepi kek-kek penuh gula.

“Hang ingat nenek hang sihat sampai umur 90 pasai amalan berpantang 44 hari selepas bersalin kaaaaa???

“Dr Imelda suruh regular exercise tapi hang tak mau buat. Dr Imelda suruh makan makanan sihat tapi hang nak makan ayam goreng segera. Dr Imelda suruh makan sayur-sayuran dan buah-buahan semulajadi berkhasiat tapi hang nak telan suplimen saja.

“Dr Imelda suruh minum ayaq kosong tapi hang nak minum ayaq kordial penuh gula, ayaq teh boba-boba penuh gula, ayaq kopi campuran manih melecaih.

“Dr Imelda suruh makan nasi suku pinggan saja. Hang pi suruh orang Bangla dan orang Indon buat kerja fizikal yang tok nenek moyang dok buat sendiri zaman dulu, tapi hang nak jugak makan nasi penuh pinggan.

“Dr Imelda suruh hang pi pulas telinga anak lelaki atau menantu lelaki yang merokok sampai depa berhenti merokok tapi hang takmau buat.

“Hang nak jugak seksa anak perempuan dan menantu perempuan memaksa depa pantang lepas bersalin yang tidak pun memberi kesihatan yang lebih baik untuk wanita padahal kesihatan diri hang sendiri taktau jaga.

“Dr Imelda suruh hang mencegah penyakit supaya tak payah makan ubat tapi hang dok pi beli produk-produk overclaim mengarut untuk bagi diri sendiri penyakit. Tok nenek moyang hang sendiri tak beli pun produk-produk mengarut overclaim ni. Tok nenek moyang hang tak telan pun berbagai-bagai suplimen sampai membebankan organ dalam badan.

“Hang ikut petua orang zaman dulu konon. Kalau takat pantang selepas bersalin saja yang hang tau, tak payah laaa kata hang ikut amalan orang tua-tua dan perasan diri sendiri sihat.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Share on facebook
Kongsi Di Facebook