Pelajar Malaysia Ceritakan Detik Mendebarkan Insiden Di Beirut

Beirut

Like dan Follow Facebook Rencah di bawah sekarang.

Salah seorang rakyat Malaysia di Beirut menceritakan detik cemas dihadapinya susulan insiden letupan sebuah gudang di Pelabuhan Lubnan, kelmarin yang mana telah meragut ratusan nyawa.

Ismail Zulkifli yang merupakan pelajar tahun akhir Universiti Islam Beirut pada mulanya merasakan gegaran kuat yang dirasai ketika beliau berada di rumah salah seorang pegawai kedutaan Malaysia di sana adalah impak daripada gempa bumi.

Menurut sumber Harian Metro Online, Ismail merasai gegaran itu buat pertama kali ketika beliau sedang menikmati minum petang bersama pegawai tersebut.

“Sekitar jam 5.45 petang, kediaman berkenaan bergegar. Saya mendiamkan diri untuk seketika sebelum satu letupan yang sangat kuat bersama gegaran lebih dahsyat dari yang pertama.”

“Saya kemudian keluar ke balkoni rumah apartment berkenaan sebelum melihat penduduk di kawasan berhampiran keluar ke jalan raya sambil menjerit-jerit.”

”Pada masa sama saya mendapati kawasan kediaman pegawai kedutaan mengalami kerosakan akibat gegaran itu di mana pintu rumah terkopak dan pintu tutup balkoni terkeluar dari relnya.”

“Kami yang masih bingung dengan kejadian letupan itu kemudian mengambil keputusan untuk menuju ke kediaman Kedutaan Malaysia bagi mendapatkan perlindungan,” ujar pelajar kelahiran Semenyih, Selangor itu.

“Sebaik tiba di kediaman kedutaan, kami kemudian menghubungi rakan-rakan penuntut dari Malaysia sebelum dimaklumkan semuanya dalam keadaan selamat.”

“Sekitar jam 10 malam waktu (4 pagi waktu Malaysia) saya kemudian dibenarkan pulang ke kediaman saya di kawasan Aishah Bakkar yang terletak 10 minit perjalanan dengan kereta dari lokasi kejadian letupan,” tambah Ismail bercakap kepada Harian Metro.

Dalam pada itu, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum ini telah mengesahkan bahawa semua rakyat Malaysia di Lubnan berada dalam keadaan baik dan kesemua mereka dinasihatkan agar berada di kediaman masing-masing.

Dua letupan kuat yang dikatakan berpunca daripada baja Ammonium Nitrat itu turut dirasai sehingga ke Cyprus kira-kira 200 kilometer dari tempat kejadian sekaligus telah menyebabkan 135 nyawa terkorban dan 5,000 orang dilaporkan cedera.

Kredit foto: Ask A Muslim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram