Pemberian Data Harian 1GB Percuma Disambung Sehingga 31 Julai

Bagi membantu rakyat menghadapi digitalisasi norma baharu sepanjang pandemik COVID-19, pemberian 1GB data harian secara percuma kepada pengguna dilanjutkan sehingga 31 Julai ini. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan keputusan berkenaan mendapat persetujuan lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama iaitu Celcom, Digi, Maxis, U-Mobile dan Telekom Malaysia (TM) menerusi talian menerusi Unifi Mobile.

YTL Communications Sdn Bhd (YTL) pula dalam pada itu akan terus menyokong sistem pendidikan dengan melanjutkan inisiatif Learn From Home (LFH) sehingga 30 Sept ini yang turut merangkumi penuntut institusi pengajian tinggi. Pakej istimewa ini menyediakan kad SIM percuma dengan data sebanyak 40GB, kandungan percuma dan telefon pintar percuma untuk pelajar daripada keluarga B40.

Kuota harian 1GB secara percuma ini adalah tambahan kepada pakej langganan data sedia ada dan boleh digunakan bagi mengakses platform sidang video seperti Zoom, Google Meet serta menguruskan bahan-bahan pengajaran menerusi e-mel sepanjang hari tanpa sekatan waktu. Bagaimanapun, kemudahan itu tidak terpakai untuk melayari media sosial, penstriman video dan muzik serta permainan dalam talian.

Menurut SKMM, inisiatif ini juga bagi membantu pelajar sekolah berdepan semula dengan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selepas Aidilfitri seperti yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram