Pengharaman Petrol Berplumbum Dan Kesan Buruknya Kepada Manusia

Apabila Algeria bersetuju untuk mengharamkan penggunaan petrol dengan plumbum, secara rasminya ia tiada lagi digunakan di mana-mana negara. Pengharaman tersebut hanya hadir selepas hampir 100 tahun plumbum pertama kali dikaji oleh jurukimia di General Motors.

Pada Julai 2021, Algeria merupakan negara terakhir yang mengharamkan penggunaan petrol dengan plumbum. Sebagai perbandingan, Malaysia mula mengurangkan pengunaannya secara berperingkat mulai tahun 1985. Kerajaan akhirnya mengharamkan penjualan petrol berplumbum pada Ogos 1998.

Usaha pengharaman secara menyeluruh ini dimulakan pada tahun 2002 oleh Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP). Hampir sembilan belas tahun kemudian, pengharaman tersebut akhirnya menjadi satu realiti.

Apakah itu petrol berplumbum?

Kredit gambar: https://www.dreamstime.com/photos-images/old-gas-oil-station.html

Plumbum merupakan sejenis logam berat yang sangat berbahaya apabila tercemar di udara. Terdapat pelbagai jenis bahan pencemaran udara yang terdapat di atmosfera. Plumbum, kadmium dan nitrat yang terpeluwap di udara boleh mendatangkan risiko kepada manusia. Punca utama plumbum dalam udara adalah daripada penggunaan petrol berplumbum serta industri yang menghasilkan dan mempemproses plumbum.

Petrol berplumbum mula dikaji pada tahun 1921 oleh jurukumia di General Motors. Masalah enjin yang dikenalpasti pada waktu tersebut adalah penghasilan ketukan enjin yang melampau semasa pembakaran bahan api. Thomas Midgley Jr berperanan mempopularkan penambahan plumbum tetrametil ke dalam petrol bagi pembakaran bahan api yang lebih efisyen. Pada tahun 1970, penggunaan tersebut tersebar di seluruh pelusuk dunia.

Pencemaran logam plumbum di udara sememangnya berpunca daripada penggunaan plumbum tetrametil dalam petrol. Ia kemudiannya dibebaskan melalui ekzos kenderaan apabila digunakan oleh enjin. Plumbum sangat beracun kerana ia berupaya kekal dalam tisu badan manusia dan disingkirkan semulajadi pada kadar yang rendah.

Jangka hayat plumbum yang mencemarkan udara adalah sekitar 30 hingga ke 40 tahun. Dalam badan manusia pula, logam berat ini mampu bertahan selama lima ke tujuh tahun.

Kesan buruk petrol berplumbum kepada tubuh

Kredit gambar: https://www.vox.com/future-perfect/22650920/leaded-gasoline-eradicated-public-health

Pencemaran udara dengan plumbum boleh mendatangkan pelbagai penyakit seperti asma, sakit jantung sehinggalah kepada kanser. Pendedahan kepada plumbum juga berisiko menyebabkan kerosakan otak kepada bayi dan kanak-kanak.

Pencemaran plumbum menyebabkan penurunan IQ yang serius terhadap kanak-kanak. Kajian menunjukkan ia boleh mengurangkan dari 5 hingga 10 mata IQ.

Dalam kalangan orang dewasa pula, ia akan memberi kesan kepada sistem saraf, jantung, buah pinggang dan sum-sum tulang. Keracunan plumbum mampu mematikan sel-sel jantung secara perlahan-lahan. Ia kemudiannya menyebabkan jantung lemah serta mengganggu fungsi jantung.

Pengharaman petrol berplumbum secara berperingkat

Kredit gambar: https://www.thedrive.com/maintenance-repair/37516/white-smoke-from-exhaust-on-startup

Disebabkan kesan buruk petrol dengan plumbum ini terhadap kanak-kanak, usaha pengharamannya dimulakan oleh seorang pakar kanak-kanak. Kajian Herbert Needleman dimulakan pada tahun 1979 dengan Jepun, Jerman dan Amerika Syarikat antara negara terawal yang mengharamkannya. Sekitar tahun 1980-an, hampir kesemua negara membangun tidak lagi menggunakan petrol berplumbum.

Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) kemdiannya melancarkan Partnership for Clean Fuels and Vehicles. Program tersebut menunjukkan petrol berplumbum adalah kesilapan manusia yang sepatutnya dielakkan dari awal. Maka, UNEP berkempen untuk pengharaman petrol berplumbum pada tahun 2002. Namun, pertubuhan tersebut hanya berjaya menghentikan sepenuhnya petrol berplumbum 19 tahun kemudian.

UNEP menganggarkan setiap tahun, penggunaan petrol tanpa plumbum mampu menyelamatkan kelahiran 1.2 juta nyawa kanak-kanak pramatang. Dunia juga menjimatkan hampir $USD2.4 trilion setahun dalam bentuk perbelanjaan kesihatan dan kos-kos lain yang berkaitan dengan pencemaran petrol berplumbum.

Bacaan Seterusnya