Peninsula: Sambungan Filem Train to Busan Yang Lagi Gila

Pengarah Yeon Sang-ho tak bergurau apabila beliau mengatakan Peninsula – sambungan filem Train to Busan – setaraf dengan filem Mad Max dan Akira.

Melihat trailer Peninsula yang baru dimuat naik di YouTube, jelas sekali Peninsula penuh dengan aksi berskala besar dan mendebarkan. Malah tak mustahil ia boleh membuatkan orang lupa langsung dengan Train to Busan.

Yeon Sang-ho yang mengarah Train to Busan sememangnya sudah berniat untuk membuat filem sambungan Train to Busan yang mempunyai perubahan radikal dari segi tona dan plot filem tersebut. Berdasarkan trailer Peninsula, jelas objektif Sang-ho berjaya.

Sebagai rekod, Train to Busan berjaya mencipta fenomena di pawagam seluruh dunia apabila mengutip USD93 juta kutipan pecah panggung. Filem tersebut turut menjadi filem Korea Selatan paling berjaya di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Hong Kong.

Peninsula berlatarbelakangkan dunia sama seperti Train to Busan tetapi bertunjangkan plot cerita baru yang berlaku empat tahun kemudian.

Pelakon Gang Dong-won membintangi watak bekas tentera yang berjaya keluar dari Korea Selatan yang dipenuhi zombi. Virus zombi telah membuatkan kerajaan seluruh dunia menjadi runtuh dan Korea Selatan menjadi padang jarak padang tekukur.

Bekas tentera itu kemudiannya dihantar balik ke Korea Selatan untuk mendapatkan barang berharga. tetapi perjalanan baliknya menjadi sukar apabila beliau bertemu dengan orang awam yang belum dijangkiti.

Sang-ho turut memberitahu pengaruh terbesarnya dalam pembikinan Peninsula adalah filem-filem seperti Land of the Dead, Mad Max, Mad Max: Fury Road dan The Road.

Pengaruh francais filem Mad Max sangat kuat sehinggakan babak ‘Thunderdome’ turut wujud dalam Peninsula, di mana banduan dibawa ke arena untuk bergasak dengan zombi.

Setakat ini Peninsula masih lagi belum diumumkan tarikh keluarnya di Amerika Syarikat susulan ketidaktentuan dari wabak COVID-19. Peninsula merupakan filem pertama arahan Sang-ho selepas mengarah filem adiwira terbitan Netflix ‘Psychokinesis’.

Tonton trailer Peninsula melalui video di bawah:

Baca juga artikel kami yang lain mengenai filem-filem trending:

Bacaan Seterusnya