Perbezaan Ketara Antara Institusi-Institusi Pemberi Pinjaman Wang

Terma syarikat along ataupun pemberi pinjaman wang tanpa lesen seringkali menimbulkan kekeliruan. Ini kerana, terdapat beberapa institusi lain yang dipanggil sebagai syarikat pemberi pinjam wang (PPW) berlesen. Tanpa penerangan dan maklumat yang jelas, pengguna mudah terperdaya dengan iklan along ini.

Sehingga 31 Mei 2021, terdapat 4,792 syarikat kredit komuniti berlesen yang berdaftar di seluruh negara di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Berikut merupakan latar belakang dan perbezaan antara institusi-institusi ini.

Sejarah syarikat pemberi pinjaman wang

Kredit gambar: Redemption Blogs

Pada zaman dahulu, pemberi pinjaman wang ini tidak diinstitusikan. Ia hanyalah bergantung kepada budi bicara pemberi pinjaman sahaja. Pada tahun 1951, suatu undang-undang telah digubal dengan nama Ordinan Pemberi Pinjam Wang 1951 dan dikuatkuasakan pada 31 Mac 1952. Kemudiannya, ia digubal sebagai Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) yang kekal sehingga hari ini.

Akta ini digubal bagi mengawal aktiviti pemberi pinjaman wang dalam negara yang pada asalnya beroperasi
secara kecil-kecilan. Penggubalan akta ini dibuat bagi menyeragamkan Undang-undang Pemberi Pinjam Wang yang telah sedia wujud secara berasingan di beberapa negeri Tanah Melayu ketika itu. Malangnya, perkembangan dalam urus niaga pemberi pinjam wang ini turut diiringi dengan peningkatan kes-kes penyelewengan dan jenayah.

Misalnya kes-kes peminjaman wang haram yang lebih dikenali sebagai ceti haram, loan shark atau along. Kes-kes ini biasanya berlaku terhadap peminjam melalui pengenalan kadar faedah yang keterlaluan. Penggunaan kekerasan, ugutan, ancaman dan jenayah juga dilakukan ke atas peminjam yang tidak mampu membayar pinjaman.

Perbezaan antara institusi pemberi pinjaman

Kredit gambar: Alegan Trading

Terdapat empat jenis institusi pemberi pinjaman wang yang boleh didapati di seluruh negara. Perbezaan paling ketara diantara kesemua institusi ini adalah agensi kerajaan yang mengawal selia operasi mereka.

1. Institusi kewangan berlesen: Lebih dikenali sebagai bank perdagangan yang dilesenkan oleh Bank Negara di bawah Akta Bank.

2. Koperasi: Dikawal selia oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

3. Kredit komuniti dan peminjam wang berlesen: Beroperasi dengan lesen yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Peminjam wang berlesen tidak boleh menerima deposit dan kadar faedah yang dikenakan tidak melebihi 18 peratus setahun.

4. Peminjam wang tidak berlesen: Lebih dikenali sebagai along, ceti haram dan loan shark. Syarikat-syarikat ini tidak dikawalselia oleh mana-mana agensi kerajaan dan mempunyai kadar faedah yang melampau.

Hak sebagai peminjam wang

Kredit gambar: Milo Suam

Sebagai seorang peminjam wang, anda mempunyai hak-hak yang dijamin oleh undang-undang. Ia termasuklah:

1. Kadar faedah maksima: Faedah 12 peratus setahun untuk pinjaman bercagar dan 18 peratus setahun untuk pinjaman tanpa cagaran. Tertakluk kepada faedah bayaran lewat 8 peratus setahun sekiranya terdapat tunggakan. Ini menurut Seksyen 17A, Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

2. Kos-kos lain yang boleh dikenakan: Menurut Seksyen 27A, adalah satu kesalahan bagi syarikat pemberi pinjaman wang untuk mengenakan kos-kos tambahan daripada jumlah pinjaman. Menurut Seksyen 23, hanya kos-kos berkaitan seperti matian setem hasil di LHDN dan kos guaman perlu ditanggung oleh peminjam.

3. Perubahan syarat: Syarikat pemberi pinjaman tidak boleh mengubah terma dan syarat sesuka hati. Seksyen 10P(1) mewajibkan pihak-pihak untuk menggunapakai terma dan syarat yang ditetapkan iaitu Jadual K (bercagar) atau Jadual J (tak bercagar) dibawah Peraturan-Peraturan Pemberi Pinjam Wang (Kawalan & Perlesenan) 2003, Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Bacaan Seterusnya