Perbezaan Takaful MLTT Dan MRTT Di Dalam Pinjaman Perumahan

Anda pembeli rumah pertama? Tahukah anda, pembiayaan perumahan sebenarnya diwajibkan untuk mengambil satu polisi takaful tambahan untuk melindungi pembiayaan tersebut di antara pemegang polisi dan pihak bank.

Bagi pembiayaan perumahan, terdapat dua produk takaful gadai janji yang boleh digunakan oleh bakal pembeli iaitu Mortgage Reducing Term Takaful (MRTT) dan Mortgage Level Term Takaful (MLTT).

Ketika ini, ramai yang keliru dan kurang pasti produk manakah yang bersesuaian dengan jenis pembiayaan yang dimohon. Selain itu juga, ramai yang tidak tahu apakah manfaat atau kelebihan yang diperolehi jika melanggan salah satu produk ini.

Apakah yang dimaksudkan oleh MLTT?

Kredit gambar: https://money.howstuffworks.com/personal-finance/for-new-adults/how-to-get-loan-without-bank-account.htm

Mortgage Level Term Takaful (MLTT) ataupun terjemahannya Takaful Bertempoh Gadai Janji Mendatar merupakan perlindungan yang direka untuk memberikan jaminan kewangan kepada keluarga anda, sekiranya terjadi sebarang kes kematian atau kecacatan kekal.

Jumlah yang dilindungi oleh MLTT akan kekal sepanjang tempoh pelan perlindungan tersebut diambil – itulah yang dimaksudkan dengan ‘Level Term Takaful’

Sekiranya terjadinya kes-kes seperti kematian atau kecacatan kekal, MLTT akan diaktifkan oleh pihak pengendali takaful anda dengan membayar baki pinjaman perumahan yang ada terus kepada bank. Manakala baki daripada jumlah yang telah dibayar untuk perlindungan pinjaman tadi pula akan diberi terus kepada penerima manfaat iaitu waris anda.

Ringkasnya, MLTT bukan sahaja melindungi pinjaman perumahan anda, namun dalam masa yang sama boleh menyediakan bantuan kewangan tambahan pada keluarga dan yang tersayang.

Tidak seperti MRTT, bayaran untuk MLTT dibuat secara bulanan sepanjang tempoh pinjaman perumahan dibuat. Oleh itu, ianya tak boleh dibayar di dalam pinjaman perumahan seperti MRTT, dan mesti dibayar oleh peminjam dalam ansuran bulanan.

Disebabkan nilai yang dibayar untuk MLTT kekal sama, kos keseluruhan premium juga mungkin lebih mahal berbanding perlindungan yang disediakan oleh MRTT walaupun untuk tempoh yang sama.

Apakah pula yang dimaksudkan dengan MRTT?

Kredit gambar: https://fxtrending.com/insurance-principles-and-practice/

Mortgage Reducing Term Takaful ataupun terjemahannya Takaful Bertempoh Gadai Janji Berkurang adalah produk takaful yang direka khas untuk menyediakan bantuan kewangan sekiranya terjadi kes kecacatan kekal ataupun kematian.

Benar, bunyi yang sama sahaja seperti yang ditawarkan oleh MLTT.

Perbezaannya adalah sekiranya jumlah pinjaman perumahan anda berkurangan, perlindungan yang disediakan oleh MRTT juga akan berkurangan – itulah yang dimaksudkan dengan mortgage reducing (pengurangan gadai janji) di dalam MRTT. Pembayaran takaful pula dibuat sekaligus pada masa pembelian, dan biasanya sebahagian atau jumlah penuh boleh dibayar menggunakan pinjaman perumahan.

Bagi kes kematian, MRTT bertindak untuk membayar baki jumlah pinjaman perumahan anda, yang mana ia dibayar terus kepada institusi kewangan yang memberikan pinjaman kepada anda. Kebiasaannya, mortgage reducing ini menyebabkan tiada lebihan wang yang boleh diberikan kepada waris kerana jumlah perlindungan adalah sama banyak dengan baki hutang anda dengan institusi kewangan tadi.

Baik, sekiranya pinjaman perumahan anda diselesaikan dalam tempoh masa yang pendek pula, pihak takaful akan memberikan tawaran pembayaran balik tunai, mengikut terma dan syarat penamatan awal.

MLTT atau MRTT, yang mana satu pilihan anda?

Kredit gambar: http://propertyhartanah.com/properties/house-for-sale-in-shah-alam-laman-glenmarie/

MLTT dilihat lebih sesuai untuk pembeli dengan kategori berikut:

  1. Membeli rumah sebagai satu pelaburan
  2. Pembelian dalam tempoh masa yang pendek
  3. Mempunyai perancangan untuk melakukan pembiayaan semula (re-financing)
  4. Berumur di bawah 35 tahun.

MRTT pula lebih sesuai untuk pembeli dengan kategori berikut:

  1. Membeli rumah sebagai satu pelaburan
  2. Pembelian dalam tempoh masa yang panjang
  3. Tiada perancangan untuk melakukan pembiayaan semula (re-financing)
  4. Berumur 35 tahun ke atas.

Pemilihan takaful MLTT atau MRTT sebenarnya amat bergantung kepada situasi pembeli tersebut sendiri.

 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram