Thomas Mueller Beri Satu Beza Kemenangan 8-2 Barcelona Dengan 7-1 Brazil

blank

Like dan Follow Facebook Rencah di bawah sekarang.

Pemain terbaik perlawanan bersejarah awal pagi tadi, Thomas Mueller mengaku ‘seronok’ dapat membelasah Barcelona. Tetapi beliau mengingatkan semua orang, matlamat utama Bayern bukanlah untuk mengalahkan Barcelona. Sebaliknya untuk menjadi juara.

Mueller dianugerahkan pemain terbaik perlawanan selepas menjaringkan dua gol dan menyumbang satu bantuan untuk membantu Bayern Munich membelasah Barcelona 8-2 dalam aksi suku akhir UEFA Champions League 2019/2020.

“Susah nak dijelaskan. Saya rasa kemenangan ini membuktikan kami berada dalam prestasi terbaik. Terima kasih atas anugerah pemain terbaik perlawanan ini. Tapi saya rasa ada 12, 13 pemain lain di luar sana yang sama layak menerimanya.

“Kami bekerja keras, kami bermain dengan intensiti yang tinggi. Pasukan lain akan sukar menewaskan kami. Dan kami juga rasa sangat seronok dalam perlawanan tadi.

Ketika ditanya apa beza kemenangan awal pagi tadi dengan kemenangan 7-1 Jerman ke atas Brazil semasa Piala Dunia 2014, Mueller yang membintangi dua kemenangan bersejarah itu memberitahu:

“Bezanya semasa menentang Brazil, kami tak menguasai Brazil. Ia tiba-tiba terjadi.”

Menurut Mueller, punca utama kejayaan mereka menumbangkan Barcelona terletak kepada intensiti permainan mereka.

“Corak permainan kami tak bergantung kepada nama pemain. Tapi mereka [Barcelona] ada beberapa pemain istimewa. Jadi kami perlu bertindak agresif. Jika pemain istimewa mereka terlepas daripada kawalan seorang pemain, pemain lain akan memberi tekanan kepada mereka. Jika terlepas lagi, pemain lain akan datang beri tekanan.

“Bila akhirnya kami dapat bola, kami dapat berikan masalah kepada beri kerana kami ada pemain-pemain hebat seperti [Ivan] Perisic, [Serge] Gnabry, [Kingsley] Coman dan Phillipe [Coutinho].

Tetapi penyerang Jerman ini memberi peringatan di sebalik kemenangan ini, mereka sudah pun fokus kepada perlawanan separuh akhir nanti.

“Anda boleh bayangkan betapa gembiranya kami selepas perlawanan. Ia kemenangan yang sangat istimewa. Tapi kami kena terus fokus selepas ini.

“Memang kemenangan ini akan buatkan ramai pasukan takutkan kami. Tapi perlu diingat, pada separuh akhir nanti, perlawanan akan bermula 0-0. Ketakutan pasukan lain tak bawa apa-apa makna kalau kami nak ke perlawanan akhir.”

Bayern akan menanti pemenang satu lagi aksi suku akhir antara Manchester City dengan Lyon. Perlawanan suku akhir terakhir ini akan berlangsung awal pagi esok waktu Malaysia.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Sumber:
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram