Peserta Perhimpunan Kes Najib Akan Dikesan Polis Melalui CCTV

Like dan Follow Facebook Rencah di bawah sekarang.

Polis akan mengesan mereka yang berhimpun di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semasa keputusan perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor, berkata ketika ini pihaknya sedang meneliti kesalahan berhimpun itu mengikut Akta Perhimpunan Aman dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Ini katanya, tindakan mereka yang berhimpun sudah mengingkari arahan yang ditetapkan berdasarkan siri perbincangan antara Ketua Polis Daerah Sentul dan penganjur perhimpunan, minggu lalu.

Katanya, antara perkara utama dibincangkan dalam pertemuan itu adalah kewajiban menjaga jarak khususnya sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih berkuat kuasa.

“Kita sampaikan kepada mereka apa yang perlu dilaksanakan dan saya percaya masyarakat sendiri sepatutnya sedar mengenai COVID-19 yang masih menular di dalam negara. Kami benar mereka datang tetapi perlu menjaga diri masing-masing.

“Tetapi sebaliknya berlaku, dan apa yang dinyatakan dalam pertemuan itu tidak berlaku,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, pagi tadi.

Turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

Justeru Mazlan berkata, penganjur perhimpunan akan dipanggil bagi membantu siasatan kerana ingkar arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa.

“Kita hanya menjangkakan seramai 800 ke 900 orang sahaja yang akan hadir tetapi (semalam) lebih yang datang,” katanya.

Ditanya mengapa tindakan tidak dilakukan segera oleh polis ketika penyokong berada di Kompleks Mahkamah semalam, Mazlan menjelaskan, polis tidak mahu mengeruhkan keadaan kerana nasihat serta amaran sudah diberikan.

“Nasihat sudah dilakukan dan amaran juga sudah diberikan…pun begitu mungkin kerana keghairahan mereka yang hadir ia (arahan) tidak diendahkan.

“Kenapa mahu undang masalah, kerajaan juga sudah berkali-kali memberi amaran dan nasihat. Ini (situasi perhimpunan) bukan kita jaga kita lagi… akhirnya pihak polis yang dipersalahkan,” katanya.

Tambah Mazlan, laporan polis sudah dibuat oleh orang awam dan siasatan berhubung perkara berkenaan sudah dijalankan.

Perhimpunan menyokong Najib semalam mengejutkan rakyat Malaysia yang bimbang penularan COVID-19 akan berlaku dalam kalangan mereka yang hadir berikutan tiada penjarakan sosial, selain ribuan yang hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur itu dilihat tidak mengendahkan arahan yang ditetapkan.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Sumber:
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram