Punca Dan Sebab Berlakunya Kekurangan Bekalan Kentang Goreng

Sebelum ini, sewaktu memasuki pandu lalu bagi memesan Mcdonald’s, pasti pembantu jualan akan mencadangkan pembelian set besar. Namun begitu, mulai 24 Januari yang lalu Mcdonald’s tidak lagi berbuat demikian.

Malah, pelanggan juga tidak lagi dibenarkan untuk membuat pembelian set besar untuk sementara waktu. Ini berikutan McDonalds sedang menghadapi masalah kekurangan bekalan kentang goreng mentah.

Pihak Mcdonald’s mengambil langkah sedemikian bagi memastikan bekalan kentang gorengnya tidak terus habis. Langkah tersebut juga bagi memastikan menu popular tersebut masih boleh dipesan dan dinikmati oleh pelanggan.

Masalah logistik di peringkat global menyebabkan Mcdonald’s terpaksa berhadapan dengan kekurangan bekalan kentang. Isu ini mungkin berlaku buat kali pertama di McDonalds Malaysia. Sekiranya dilihat di seluruh dunia, kekurangan bekalan kentang goreng mentah dan sumber kentang sendiri adalah masalah yang sangat serius.

Ia turut dihadapi oleh pesaing rapat Mcdonald’s iaitu KFC.

Kekurangan bekalan akibat pandemik

Kredit gambar: YouTube

Industri elektrik dan elektronik turut berhadapan dengan kekurangan chip semikonduktor sepanjang dan pasca pandemik. Ketika pandemik, kilang langsung tidak beroperasi dan membantutkan pengeluaran. Pasca pandemik pula, chip yang sudah sedia kurang menjadi rebutan kesemua industri. 

Industri makanan juga mengalami masalah yang sama. Pada tahun 2021, bekalan Marmite mula menjadi berkurangan di pasaran kerana kekurangan bekalan yis. Ini diikuti dengan kekurangan cream cheese dan kini kentang.

Masalah logistik dan pengangkutan turut membantutkan perjalanan barangan keperluan asas ini.

Kekurangan pengeluaran tanaman kentang 

Kredit gambar: Potato Pro

Menurut laporan Quartz, kekurangan kentang di peringkat global berpunca dari beberapa faktor. Pasca pandemik, dunia berhadapan dengan cuaca melampau yang menyebabkan kurangnya tanaman kentang yang menjadi.

Selain itu juga, terdapat fungus yang menyerang beberapa jenis tanaman kentang. Ini menambahkan lagi masalah kepada pengeluaran yang sudah sedia terbantut.

Kentang ditanam di beberapa buah negara seperti Belanda, Perancis, Jerman, China, Kanada dan Amerika Syarikat. Di Amerika Syarikat sahaja, sebanyak 900,000 ekar tanah ditanam dengan kentang. Ia mampu menghasilkan 20.8 bilion kg kentang bernilai $4 bilion.

Sejak November 2021, Kanada terpaksa menghentikan eksport kentang dari negaranya berikutan penemuan fungus. Ini menambahkan lagi tekanan kekurangan kentang di dalam pasaran dunia.

Kanada merupakan antara pembekal utama bagi kentang goreng McDonald’s. Sehingga hari ini, ketang dari Kanada masih lagi tidak dibawa masuk ke Amerika Syarikat.

Maka, mungkin masalah kekurangan kentang ini tidak mampu diselesaikan dengan segera.

Bacaan Seterusnya