Ramai Orang Jepun Batal Hasrat Jadikan Malaysia Rumah Kedua. Kenapa?

Like dan Follow Facebook Rencah di bawah sekarang.

Seorang rakyat Jepun yang pernah duduk di Malaysia mendedahkan ramai orang Jepun pulang semula ke negara mereka selepas menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua di bawah program Malaysia My Second Home (MM2H).

Disebalik minat tinggi yang ditunjukkan oleh rakyat Jepun untuk duduk di Malaysia sejak tahun 2006, hampir 90% rakyat Jepun pulang semula ke negara asal mereka.

Realiti tersebut didedahkan oleh Kecos di saluran YouTube milik beliau, Lost in Hokkaido, Japan.

Malaysia pilihan nombor satu rakyat Jepun sejak 2006

Menurut Kecos yang pernah menetap di Subang Jaya selama setahun ketika melanjutkan pelajarannya di INTI College, Malaysia merupakan negara yang mempunyai populasi rakyat Jepun ketiga terbesar di ASEAN.

Bagaimanapun Malaysia merupakan negara ASEAN yang menunjukkan peningkatan bilangan rakyat Jepun yang paling drastik. Pada tahun 2012, jumlah rakyat Jepun yang memohon untuk duduk di Malaysia di bawah program MM2H meningkat sekali ganda dari 10,401 orang kepada 20,444 orang.

Kecos memberitahu peningkatan ini berlaku susulan tragedi loji nuklear di Fukushima yang berlaku pada Mac 2011. Insiden malang ini membuatkan ramai rakyat Jepun, terutamanya pesara, melihat prospek negara luar sebagai rumah kedua mereka – salah-satunya Malaysia.

Berdasarkan kajian pendapat yang dilakukan oleh media Jepun, Malaysia mula menjadi pilihan nombor satu rakyat Jepun untuk duduk di luar negara bermula pada tahun 2006.

Malaysia kekal menjadi pilihan nombor satu rakyat Jepun sehingga tahun 2018, mengalahkan negara-negara lain seperti Thailand, Singapura, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat, Sepanyol dan Kanada.

Kenapa rakyat Jepun mahu duduk di Malaysia

1. Gaya hidup negara maju

Menurut Kecos, rakyat Jepun yang sudah terbiasa dengan gaya hidup serba moden menghargai kemajuan infrastruktur di bandar-bandar utama di Malaysia. Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) per kapita Malaysia pada tahun 2018 (RM133,635) juga tak jauh tertinggal daripada Jepun (RM188,842).

2. Kos sara hidup rendah

Disebalik kemudahan dan gaya hidup di bandar yang mirip negara maju seperti Jepun, Australia, New Zealand dan Singapura, Malaysia mempunyai kelebihan dari segi kos sara hidup yang rendah. Di Malaysia, harga kondominium adalah sebnyak RM6,000/meter persegi. Di Jepun, harganya adalah RM67,652/meter persegi.

3. Penguasaan bahasa Inggeris tinggi

Walaupun rata-rata rakyat Jepun tidak mahir berbahasa Inggeris, mereka masih faham dan lebih selesa duduk di negara yang penduduknya mahir berbahasa Inggeris. Ini memberi kelebihan kepada Malaysia berbanding Thailand. Dalam kalangan negara ASEAN, penguasaan bahasa Inggeris Malaysia berada di ranking ketiga selepas Singapura dan Filipina.

4. Kestabilan politik dan ekonomi

Kedudukan Malaysia di tangga ke-16 dalam Global Peace Index 2019, kedua tertinggi dalam kalangan negara ASEAN selepas Singapura, memberi jaminan kepada rakyat Jepun bahawa mereka boleh hidup dan bekerja dengan tenang.

5. Pro-Jepun

Menurut Kecos, faktor kelima ini paling penting dalam komuniti penduduk Jepun di luar negara. “Ramai orang Malaysia percaya dan yakin dengan kami hanya kerana kami orang Jepun,” katanya.

Kenapa rakyat Jepun balik negara asal pula selepas duduk di Malaysia?

Disebalik kelebihan Malaysia di atas, 90% rakyat Jepun yang memegang visa MM2H pulang semula ke negara asal mereka selepas hanya setahun duduk di Malaysia. Persoalan inilah yang dikupas oleh Kecos dalam video terbarunya.

Memanggilnya ‘kenyataan pahit tapi benar’, Kecos menyenaraikan lima sebab di bawah sebagai sebab mengapa orang Jepun tak kekal duduk di Malaysia lebih lama:

1. Perbezaan sebagai pelancong dan penduduk

Menurut Kecos, kebanyakan rakyat Jepun yang memegang visa MM2H mengadu Kuala Lumpur bagaikan ‘barang pameran’.

“Kuala Lumpur nampak cantik sebagai pelancong, tapi banyak kekurangan jika anda merupakan penduduk tetap.

“Bangunan bersejarah dan cantik bukan keperluan penduduk tetap Jepun di Malaysia. Mereka mula rindukan kepelbagaian makanan Jepun dan gaya hidup orang Jepun. Bila rindu, mereka balik ke Jepun semula.”

2. Penguasaan bahasa Inggeris penduduk Jepun lemah

“Di Malaysia, saya dapati banyak orang Jepun tak bercampur dengan orang Malaysia kerana tak fasih bahasa Inggeris. Mereka banyak bercampur dengan orang Jepun sahaja. Malah ada juga kes, mereka bergaduh sesama komuniti Jepun sendiri,” jelas Kecos.

3. Kadar jenayah tinggi

“Memandangkan orang Jepun dah terbiasa dengan hidup di negara yang kadar jenayahnya rendah, mereka tidak dapat membiasakan diri di Malaysia,” kata Kecos.

Menurut data yang dikumpul oleh Kedutaan Jepun di Malaysia pada tahun 2010, kadar kes pembunuhan di Malaysia dua kali lebih tinggi berbanding di Jepun. Kadar kes rompakan pula 24.4 kali lebih tinggi berbanding di Jepun.

Kadar kemalangan jalan raya di Malaysia pada tahun 2013 pula 5 kali ganda lebih tinggi daripada Jepun.

4. Kebolehadaptasi hidup sebagai penduduk tetap

Rakyat Jepun juga mendapati kebanyakan polisi insurans mereka tidak meliputi kos perubatan di Malaysia. Ini faktor terpenting yang membuatkan pesara-pesara Jepun terpaksa balik semula ke Jepun, terutamanya apabila kesihatan mereka mula terjejas.

Harap MM2H dapat diperbaiki

Berdasarkan laporan New Straits Times pada tahun 2017, Jepun merupakan negara kedua paling ramai pemohon visa MM2H selepas China.

MM2H mempunyai kelebihannya tersendiri kerana ia menarik imigran kaya dan berskil tinggi, bukannya PATI.. Ini menggalakkan peningkatan KDNK per kapita kita, merancakkan ekonomi dan sekaligus meningkatkan pendapatan cukai negara yang akhirnya boleh dimanfaatkan oleh kita sebagai rakyat Malaysia.

Minat rakyat Jepun untuk duduk di Malaysia di bawah program MM2H masih lagi tinggi berdasarkan data yang ditunjukkan oleh Kecos dalam videonya. T

etapi kerajaan melalui Kementerian Pelancongan mestilah melakukan sesuatu kepada program MM2H untuk mengekalkan mereka lebih lama di Malaysia. Inilah yang ditekankan oleh Kecos yang tidak menyembunyikan keinginannya untuk kembali menetap di Malaysia pada satu hari nanti.

Lihat video Kecos mengenai realiti hidup orang Jepun di Malaysia di bawah:

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Sumber:
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram