Rating Facebook Jatuh Secara Mendadak Di App Store Dan Play Store

Krisis antara tentera Israel dan penduduk Palestin baru sahaja reda dengan satu perjanjian damai. Namun begitu, sebenarnya terdapat satu impak besar krisis ini terhadap Facebook. Sewaktu serangan memuncak, Facebook dilaporkan telah menghalang berita dan perkongsian mengenai Palestin di susur masa penggunanya. Tanda pagar seperti #FreeGaza ataupun #FreePalestine dihalang untuk mendapat lebih banyak capaian dan perkongsian.

Ini menyebabkan satu kempen tersusun dilaksanakan oleh aktivis pro-Palestin terhadap syarikat media sosial tersebut. Kempen ini mempunyai satu tujuan, iaitu untuk menjatuhkan rating Facebook di App Store untuk pengguna Apple dan Play Store untuk pengguna Android. Tidak dapat dipastikan siapa, bila dan bagaimana kempen ini dimulakan.

Menurut laporan media, kempen tersebut berkesan dengan rating Facebook jatuh daripada 4/5 bintang kepada 2.3/5 bintang di App Store milik Apple. Begitu juga dengan ratingnya di Google Play Store jatuh kepada 2.4/5 bintang. Facebook dilaporkan memohon agar Apple membuang ulasan-ulasan negatif tersebut di App Store tetapi tidak diendahkan oleh Apple. Tidak dapat dipastikan bagaimana Google memberikan maklum balas terhadap permintaan Facebook.

Setakat ini, belum ada sebarang maklum balas rasmi daripada Facebook, Google mahupun Apple terhadap isu kejatuhan rating ini.

Bacaan Seterusnya