RM1.2 Bilion Bakal Dijana Dari IPO CTOS Digital Bhd

blank

Syarikat peneraju laporan kredit Malaysia, CTOS Digital Bhd dilaporkan akan menyertai tawaran awam permulaan (IPO) di Bursa Malaysia yang akan menjana kira-kira RM1.2 bilion. Syarikat itu menyasarkan untuk menjual sahamnya menerusi IPO pada harga tawaran RM1.10 sesaham dan dilaporkan sedang berunding untuk mendapatkan beberapa institusi antarabangsa seperti Aberdeen Standard Investments dan AIA Group Ltd sebagai pelabur utama.

Cadangan penyenaraian IPO CTOS bermula tahun lalu

blank
Kredit gambar: http://www.plmgrp.com/ctos

Pada bulan Ogos tahun lalu, CTOS Holdings Sdn Bhd dilaporkan sedang mempertimbangkan tawaran awam permulaan (IPO) di Bursa Malaysia yang akan menjana kira-kira RM629 juta ($150 juta). Penyenaraian tersebut dijangka akan berlaku pada suku kedua tahun 2021. Sekiranya diteliti, jumlah sasaran pada tahun 2020 nampaknya meningkat 100 peratus pada tahun ini.

Credit Tip-Off Service ataupun CTOS ini merupakan syarikat pelaporan kredit swasta yang menyediakan data dan analisis kepada pelanggan untuk membantu mereka menguruskan risiko kredit dan mencegah pemalsuan. Pada pertengahan tahun lalu, CTOS berjaya mengambil alih CIBI Information Inc, agensi pelaporan kredit pertama dan terkemuka di Filipina. Operasi CTOS disokong oleh firma ekuiti swasta iaitu Creador Capital Group.

Syarikat seperti Eastspring Investments Bhd, Fidelity International dan beberapa pengurus aset tempatan turut berunding untuk menyertai IPO CTOS Digital Bhd ini. CTOS dilaporkan bercadang untuk memfailkan prospektus sebelum akhir bulan ini, apabila syarikat tersebut akan mengesahkan senarai pelabur utama mereka secara rasmi. Namun begitu, senarai pelabur serta harga tawaran akan terus berubah mengikut kesesuaian semasa.

Pada kebiasaannya, harga saham IPO akan ditawarkan lebih rendah berbanding harga sebenar. Dengan itu, harga saham akan naik pada hari pertama dan memberikan tanggapan bahawa saham syarikat tersebut perlu dimiliki. Namun harga saham yang ditawarkan juga masih tertakluk kepada keputusan pemilik syarikat.

Seperti saham-saham lain yang diniagakan di bursa saham, terdapat juga kemungkinan harganya akan jatuh pada hari pertama dibuka kepada awam. Selain itu juga, ada kemungkinan bahawa harga saham tersebut akan terus meningkat untuk jangka masa yang lebih panjang, bergantung kepada prestasi perniagaan syarikat tersebut.

Penyenaraian terbesar di Malaysia bagi tahun 2021

blank
Kredit gambar: https://headtopics.com/my/bursa-takes-cue-from-wall-street-gains-to-open-higher-malay-mail-20294760

Tawaran awam permulaan (IPO) dengan sasaran dana sebanyak RM1.2 bilion oleh CTOS Digital Bhd ini dijangka bakal menjadi penyenaraian terbesar bagi tahun 2021 di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Sepanjang tahun 2020, sebanyak 19 buah syarikat disenaraikan di Bursa Malaysia dengan Pasaran ACE yang tertinggi iaitu sebanyak 10 penyenaraian diikuti tujuh di Pasaran LEAP dan baki dua lagi di Pasaran Utama. Kesemua penyenaraian ini menjana lebih daripada RM2 bilion. Sejak tahun 2018 hingga 2020, jumlah IPO di Pasaran Utama hanya lapan berbanding Pasaran ACE (30) dan Pasaran LEAP (33).

Setakat Oktober tahun lalu, syarikat peruncitan barangan rumah MR DIY Group (M) Bhd yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia menjadi IPO terbesar dalam tempoh tiga tahun sejak Lotte Chemical Titan Holding Bhd disenaraikan pada Julai 2017. MR DIY meraih RM1.5 bilion hasil daripada IPO itu berbanding Lotte Chemical Titan Holding yang meraih RM3.77 bilion.

Sebelum ini, IPO terbesar di Bursa Malaysia sepanjang tahun 2021 diraih oleh kumpulan pemaju hartanah, Teladan Setia Group Bhd (Teladan Setia). Penyenaraian pertama mereka di Pasaran ACE pada bulan Mac tahun ini dilaporkan mempunyai jangkaan untuk meraih dana sebanyak RM77.3 juta menerusi tawaran 161.1 juta saham dengan harga IPO pada 48 sen sesaham.

Bacaan Seterusnya