Sapok Biki: Wira Sukom 98 Yang Angkat Martabat Tinju Malaysia

blank

Like dan Follow Facebook Rencah di bawah sekarang.

Kejayaan memenangi pingat emas pada Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998, temasya sukan kedua terbesar dunia selepas Sukan Olimpik, telah melonjakkan nama Sapok Biki, 46, serta sukan tinju negara yang sebelum ini hanya dianggap sebagai acara sukan pelengkap sahaja.

Walaupun pernah mewakili negara di Sukan Olimpik Atlanta pada 1996, dua tahun sebelum Sukan Komanwel Kuala Lumpur berlangsung, nama beliau agak kurang dikenali oleh peminat sukan di Malaysia kecuali individu yang betul-betul mengikuti sukan tinju.

“Pada masa itu, saya tidak berapa menyerlah. Mungkin disebabkan sukan tinju ini adalah satu sukan yang masih belum mendapat tempat dalam kalangan peminat sukan tanah air tetapi selepas Sukan Komanwel (ia mula dikenali) mungkin disebabkan faktor Malaysia sebagai tuan rumah dan kejayaan saya sebagai pemenang emas terakhir dalam temasya sukan tersebut,” katanya kepada Bernama.

Sapok Biki mula berkecimpung dalam sukan tinju pada 1994 sebelum dipilih sebagai antara atlet dalam Program Jaya 98 di bawah kendalian Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menghadapi temasya Sukan Komanwel Kuala Lumpur.

Ketika itu, katanya, sukan tinju bukanlah acara sukan yang diletakkan harapan tinggi untuk memenangi sebarang pingat dalam Sukan Komanwel, namun dengan semangat kental, beliau telah meletakkan dirinya sebagai pakej kejutan seterusnya mengubah landskap sejarah sukan tanah air.

Sapok Biki lakar kejayaan

Walaupun kejayaan yang dilakarnya itu sudah lebih dua dekad berlalu, namun Sapok berkata segala usaha untuk memperoleh kejayaan itu tidak dapat dilakukan sekiranya negara tidak berada dalam keadaan bebas, merdeka dan aman.

“Saya sebagai bekas atlet, di mana kita dapat menjalankan aktiviti seharian tanpa perlu rasa risau dan kita tidak ada kekangan daripada sesiapa untuk melakukan aktiviti seharian termasuk bersukan,” katanya.

Sapok berkata usaha untuk melakar kejayaan dalam pelbagai bidang termasuk sukan adalah mustahil untuk dilakukan jika negara berada dalam keadaan kacau-bilau dan masih dijajah oleh kuasa asing yang pastinya mahu menindas serta mengambil kesempatan atas ketidakstabilan sesebuah negara itu.

“Kita tengok kejayaan atlet-alet kita sebagai contoh, kalau mereka hendak bersukan mereka boleh berjaya dan kalau mereka hendak bekerja, dia boleh sampai ke tahap tertinggi. Ini adalah kerana negara kita aman, mempunyai ekonomi dan struktur pentadbiran stabil, jadi semua orang seperti atlet ini boleh bersukan dengan tenang dan masyarakat boleh bekerja dengan aman damai,” katanya.

Hargai nilai kebebasan, kemerdekaan

Menurut Sapok Biki, setiap lapisan masyarakat di negara ini tanpa mengira status sosial mereka harus menghargai nilai sebuah kebebasan dan kemerdekaan yang sedang dikecapi kerana generasi terdahulu telah melakukan pengorbanan amat besar untuk memperolehinya.

Tambah Sapok, Rukun Negara yang menjadi asas kepada perpaduan di negara ini juga perlu diperhalusi dan dihayati agar kesepaduan dan kebersamaan yang wujud dalam masyarat Malaysia dapat terus kekal serta diperkukuhkan lagi.

“Setiap prinsip yang terdapat dalam rukun negara itu mempunyai makna yang besar dan kalau kita hayati sepenuhnya kita pastinya akan merasakan bahawa kita adalah orang yang bertuah dapat duduk sama menjadi rakyat Malaysia,” katanya.

Sebagai seorang pegawai tentera yang masih dalam perkhidmatan, beliau berkata perjuangan dalam mempertahankan sebuah kebebasan merupakan sebuah perjuangan yang tidak pernah selesai.

“Rakyat atau diri kita (sendiri) harus mendisiplinkan diri dan sentiasa bersyukur serta berterima kasih kepada apa yang telah kita perolehi dan kecapi daripada hasil perjuangan generasi terdahulu. Generasi masa kini pula harus meneruskan perjuangan tersebut supaya negara kita boleh maju dan terus membangun,” katanya.

Justeru nasihat beliau, generasi muda kini harus didedahkan dengan lebih banyak material yang mempunyai unsur-unsur patriotik agar mereka tidak alpa bahawa kebebasan yang mereka miliki itu bukan sesuatu yang diperoleh secara percuma.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Sumber:
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram