Sejarah Hidup Virgil Abloh: Pendiri Off-White Dan Pengarah Artistik LVMH

Pada hari ini, dunia fesyen antarabangsa dikejutkan dengan berita pemergian Virgil Abloh. Pereka dan pengarah artistik terkenal ini merupakan pengasas kepada jenama ikonik Off White.

Pada usianya yang sangat muda, Virgil meninggal dunia selepas bertarung dengan kanser. Biarpun baru berusia 41 tahun ketika pemergiannya, beliau meninggalkan legasi yang sangat besar kepada dunia fesyen.

Hanya sembilan tahun selepas memasuki dunia fesyen, Virgil Abloh telah dinobatkan sebagai 100 Manusia Paling Berpengaruh Di Dunia oleh majalah TIME. Ini merupakan kisah disebalik kehidupan lagenda fesyen tersebut.

Merupakan seorang arkitek terlatih

Kredit gambar: Gagosian

Dilahirkan pada 30 September 1980 di Chicago, Illinois, Virgil Abloh merupakan pemegang Ijazah Sarjana di dalam bidang arkitek. Semasa menyambung pengajian beliau di peringkat Sarjana di Illinois Institute of Technology, Virgil mula tertarik dengan rekaan fesyen.

Ketika itu juga, Rem Koolhaas yang merupakan seorang arkitek terkenal sedang mengawasi pembinaan bangunan tambahan di IIT yang direka oleh beliau. Selain bertugas sebagai arkitek, Rem juga merupakan pereka fesyen tersohor bagi Prada. Ini mula mencetuskan minat dan idea Virgil untuk mendalami dunia fesyen.

Selepas selesai pengajiannya di IIT, Virgil menjalani latihan industri di Fendi.

Bekerja rapat bersama Kanye West

Kredit gambar: NSS Mag

Virgil Abloh mula mengenali Kanye West di Chicago lagi. Kedua-dua mereka kerap bertemu di kedai-kedai percetakan di sekitar Chicago.

Apabila Virgil menyertai Fendi sebagai pelatih industri, beliau bekerja rapat bersama Kanye. Pada tahun 2009, kedua-dua Virgil dan Kanye bekerja bersama-sama di ibu pejabat Fendi di Rom, Itali.

Hasil kerjanya pada waktu itu lagi telah memikat CEO Louis Vuitton, Michael Burke. Bersama-sama pereka artistik Kanye West iaitu Don C, Virgil membuka langkah dengan menubuhkan RSVP Gallery. Pembukaan RSVP Gallery ini memperlihatkan keupayaan Virgil sebagai pereka dalaman bagi kedai fesyen terkemuka.

Syarikat pertama yang diilhamkan Virgil Abloh ialah Pyrex Vision. Virgil memulakan Pyrex dengan membeli pakaian tidak laku dari Ralph Lauren pada harga $40. Selepas mencetak imej rekaannya pada pakaian tersebut, Virgil menjualnya semula pada harga $550.

Kejayaan tersebut bagaimanapun tidak membuatkan Virgil kekal dengan idea sama. Pyrex kemudiannya direhatkan kerana Virgil melihat syarikatnya itu mempunyai nilai artistik dan bukannya keuntungan.

Dari Pyrex kepada Off-White

Kredit gambar: Kings Sleeve

Pada tahun 2013, Virgil mula membuka rumah fesyen beliau yang tersendiri. Dinamakan sebagai Off-White, bersempena dengan warna yang terhasil diantara campuran hitam dan putih yang menghasilkan warna seakan-akan kelabu.

Menerusi Off-White, Virgil mengecapi kemasyhuran dan meningkat sebagai pereka fesyen terkemuka. Banyak kolaborasi yang ikonik yang tercipta bersama Off-White. Antaranya rekaan perabot SCULPTURE bersama IKEA. Selain itu juga, Virgil pernah menghasilkan The Ten iaitu rekaan semula 10 kasut paling laris yang pernah dikeluarkan oleh Nike.

Pada tahun 2018, Off-White dianggap mengecapi kejayaan tertinggi apabila menewaskan Gucci di dalam index jualan dan sentimen pengguna. Virgill dilamar oleh Louis Vuitton pada tahun yang sama.

Sebagai pengarah artistik LVMH 

Kredit gambar: Fashionista

Virgil Abloh menyifatkan penyertaan beliau bersama rumah fesyen terkemuka dunia, Louis Vuitton sebagai era baharu. Sejarah dan budaya rekaan yang diterjemahkan oleh Louis Vuitton dilihat bakal dimodenkan dengan penyertaan Virgil.

Ketika penyertaan Virgil, beliau merupakan anak kelahiran Afrika-Amerika pertama menjawat jawatan tertinggi di LVMH. Antara rekaan terawal beliau bersama LVMH digayakan oleh Rihanna. 

Bagi melengkapkan penyertaan Virgil ke Louis Vuitton, LVMH bersetuju untuk membeli syarikat miliknya iaitu Off-White. Sehingga akhir hayatnya, Virgil kekal memegang 40 peratus baki saham Off-White.

Pada hari ini, Virgil meninggal dunia pada usia yang sangat muda. Kelompongan yang ditinggalkan Virgil, biarpun hanya 12 tahun berada di dalam industri, mungkin tidak boleh digantikan oleh sesiapa.

Bacaan Seterusnya