Sejarah JAKEL: Daripada Penjual Karpet Gagal Kepada Gergasi Industri

Sejarah JAKEL sebagai pemborong tekstil terkemuka di Malaysia bermula daripada kegagalan Allayarham Mohamed Jakel Ahmad menjual permaidani.

Sudahlah perniagaan tak kencang, Jakel juga terpaksa menjual permaidaninya tanpa kedai selepas pemilik kedai bertindak menjual bangunan kedai.

Tidak cukup dengan itu, Jakel turut pernah dimalukan depan orang ramai kerana kegagalannya membayar sewa rumah selama enam bulan. Salah seorang saksi kejadian tersebut adalah anaknya sendiri, Mohamed Faroz Mohamed Jakel.

Sejak itu Faroz bertekad untuk membantu bapanya. Sebagai anak sulung, beliau menggalas tanggungjawab mencari rezeki bersama bapanya dengan menjual gula tarik di sekolah.

“Seminggu saya untung RM15. Duit itu kemudiannya saya bagi kepada ibu saya untuk dia berniaga makanan pula,” cerita Faroz kepada The Star.

Pada tahun 1983, bapa Faroz berjaya menyewa sebuah lot kedai baru di pekan Muar. Nama kedainya adalah ‘JAKEL Trading’. Keluasannya pula hanya 300 kaki persegi. Di situlah bermulanya sejarah JAKEL.

Tetapi selepas setahun berniaga di kedai baru, Jakel masih gagal menjual permaidaninya. Beliau menyalahkannya kepada kelembapan ekonomi Muar berbanding di Segamat. Pada ketika itu aktiviti ekonomi di Segamat rancak dek penangan pembukaan beberapa penempatan Felda di sana.

“Bapa saya perasan bisnes di Muar agak perlahan berbanding di Melaka atau Batu Pahat. Jadi bapa saya pindahkan perniagaan ke Segamat pada tahun 1985,” imbas Faroz.

“Ketika di Segamat, barulah bisnes bapa saya jadi bertambah baik.”

Cawangan pertama JAKEL Trading di Segamat yang dibuka pada tahun 1985. (Foto: The Star)

Turut membantu Jakel adalah Faroz sendiri serta adik-adiknya iaitu Abdul Shiraz, Mohamed Nizam, Mohamed Izani dan Luqman.

Selepas berpindah ke Segamat jugalah, Faroz meyakinkan bapanya untuk mula menjual kain ela, di samping permaidan selepas melihat adanya permintaan dari pelanggan. Beliau nampak peluang. Beliau nampak saiz pasaran yang besar. Bapanya bersetuju.

Daripada sewa kedai kepada beli hartanah

Telahan Faroz yang kini sudah bergelar Datuk dan Pengarah Urusan JAKEL Group bahawa saiz pasaran bisnes jual kain di Segamat adalah besar, ternyata tepat.

Perniagaan menjual kain kedainya sangat menguntungkan sehingga JAKEL mampu membeli lot kedai sewaan mereka terus.

Saat JAKEL berkembang maju di Segamat adalah saat JAKEL mengumumkan kepada dunia bahawa mereka kini merupakan ‘big player‘ dalam industri tekstil Johor.

Tidak mahu selesa dengan kejayaan itu, Faroz dan bapanya mengambil risiko lagi.

“Berikutan permintaan semakin bertambah daripada penduduk sekitar Johor dan Singapura, kami akhirnya membuat tindakan berani dengan mengimport sendiri bekalan tekstil dari negara luar dan membeli pawagam Rex di Segamat bernilai RM1.6 juta,” cerita Faroz tentang sejarah penglibatan JAKEL dalam pelaburan hartanah.

(Foto: JAKEL)

Tidak cukup dengan itu, Jakel kemudiannya mendirikan bangunan baru di atas tapak pawagam di Segamat tersebut untuk dijadikan gedung jualan.

Langkah ini sangat berisiko kerana ia juga bermakna JAKEL mengumumkan penglibatan mereka dalam pelaburan hartanah. Tetapi pelaburan tersebut sangat berbaloi. Dek kerana gedung jualan merekalah, sehingga kini Segamat dikenali sebagai ‘syurga kain’.

Ketika penjual kain lain menggunakan wang tunai untuk menambah stok, JAKEL menggunakan wang tunai mereka untuk melabur dalam hartanah. Stok kedai dikekalkan. Ruang kosong dalam gedung mereka pula disewakan kepada penjual kain yang lain.

Reputasi besar mereka sebagai ‘big player’ industri tekstil Johor membuatkan JAKEL mudah memenangi tender kerajaan bagi membekal baju agensi-agensi kerajaan dan swasta pada tahun 1992.

Ia menjadi titik tolak kepada permulaan empayar perniagaan JAKEL.

Dulu jual kepada pelanggan (B2C), sekarang jual kepada kedai (B2B)

Laut tak selama-lamanya akan tenang. Pada tahun akhir tahun 1997, JAKEL mengalami badai pertama dalam lautan perniagaan mereka. Krisis kewangan Asia membuatkan permintaan kain berkurangan. Bajet kerajaan dikecilkan. Malah bekalan kain juga berkurangan kerana pemborong tiada modal untuk memborong.

Faroz yang pada ketika itu sudah mengambil alih syarikat JAKEL daripada bapanya melihat masalah-masalah ini sebagai peluang.

Melihat adanya kekurangan bekalan kain dalam pasaran, Faroz mengarahkan JAKEL mengimport sendiri kain dari luar negara dan menjualnya ke pemborong-pemborong di Malaysia. JAKEL kini beraspirasi mahu menjadi ‘new player‘ dalam industri borong kain pula.

Tetapi masalah utama yang timbul apabila ada ‘new player‘ dalam sesuatu industri adalah, pengeksport susah nak percaya. Dalam kes JAKEL, masalah mereka adalah kegagalan mendapat kepercayaan pengeksport kain di Korea Selatan.

Tetapi alah bisa tegal biasa. Setelah lama memujuk, pengeksport Korea Selatan akhirnya mengalah kepada JAKEL. Maka pada lewat era 90-an, bermulalah era JAKEL menjadi pemborong terbesar kain di Malaysia.

Melihat aliran kewangan yang cantik dan jumlah aset yang banyak membuatkan OCBC Bank senang meluluskan pinjaman perniagaan JAKEL. Ini sekaligus memudahkan JAKEL naik menjadi gergasi baru dalam industri tekstil di Malaysia pula.

‘Mengganas’ selepas krisis 1997

Ketika ekonomi Malaysia mengalami fasa pemulihan selepas krisis kewangan Asia 1997, JAKEL mengambil peluang untuk terus meluaskan tapak mereka dalam industri tekstil dan hartanah di seluruh Malaysia.

Dalam masa lima tahun, JAKEL telah membuka 20 cawangan di seluruh Malaysia.

Tetapi crème de la crème cawangan baru tersebut adalah Wisma JAKEL di Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India.

Bangunan enam tingkat dan tujuh lot ini memakan kos pelaburan RM30 juta. Mahal, tetapi penting untuk memberi petanda jelas bahawa JAKEL bukan lagi ‘new player‘ dalam industri. Sebaliknya mereka adalah ‘industry leader‘.

Walaupun dengan adanya lebih 20 cawangan di seluruh Malaysia dan sebuah wisma besar di Kuala Lumpur, JAKEL masih tidak mampu menampung saiz pasaran kain di Malaysia yang semakin besar – seiring dengan pertambahan populasi.

Jadi Wisma JAKEL di Shah Alam pula dibuka pada September 2010. Pelaburan bernilai RM50 juta ini dilihat sebagai salah satu penyumbang cukai terbesar di Selangor sehinggakan Sultan Sharafuddin Idris Shah sendiri berangkat merasmikan wisma ini.

Wisma di Shah Alam ini berkeluasan 80,000 kaki persegi sehingga dinobatkan sebagai Kedai Peruncit Kain Terbesar dalam Malaysia Book of Records.

Pada Februari 2015, JAKEL membuka crème de la crème baru mereka pula yang jauh lebih besar daripada Wisma JAKEL di Shah Alam, iaitu Jakel Mall di Jalan Munshi Abdullah.

Kompleks berkenaan menempatkan bahagian kedai bagi peruncit kecil yang membabitkan keluasan 120,000 kaki persegi.

(Foto: JAKEL)

Lebih sekadar penjual kain

Ketika artikel ini sedang ditulis, Jakel sudah pun mempunyai 24 cawangan di seluruh negara dengan 6,700 kakitangan. Nilai jualan mereka pada tahun 2019 sahaja sudah mencecah RM1.35 bilion.

Syarikat yang terkenal dengan moto ‘Ingat Kain, Ingat Jakel’ itu kini telah melebarkan sayap dengan menceburi bidang pembinaan, perumahan, industri pertahanan dan teknologi.

Ia pencapaian yang mengagumkan bila orang ingat balik sejarah kegagalan Jakel ketika menjual permaidani pada era 80-an dulu.

Baca juga artikel kami lain yang berkaitan:

Bacaan Seterusnya