Sejarah Penciptaan Ubat Gigi Dan Dominasi Jenama Colgate

Terdapat pelbagai jenis ubat gigi yang kini dijual di pasaran. Ubat gigi dicipta untuk memenuhi keperluan kesihatan mulut pelbagai individu yang berbeza-beza dari segi peringkat umur.

Selain itu juga, ubat gigi dihasilkan dengan pelbagai perisa bagi menggalakkan penggunaannya. Penggunaan ubat gigi yang betul, serta teknik memberus gigi yang betul dapat membantu pengguna bagi mencapai kesihatan mulut yang baik.

Terdapat beberapa jenis ubat gigi yang kini dijual di pasaran seperti:

  1. Ubat gigi berfluorida;
  2. Ubat gigi sensitif; dan
  3. Ubat gigi pemutih.

Sejarah ubat gigi terawal

Kredit gambar: Realm of History

Alat memberus gigi pula telah wujud sejak 3500-3000SM apabila masyarakat Babylon dan Mesir mencipta berus menggunakan hujung ranting yang berbulu. Sebelum ciptaan tersebut, gigi dicuci hanya dengan menggunakan jari. Mengikut sejarah juga, pes membersih gigi oleh penduduk Mesir purba telah lama dicipta seawal 5000SM, lama sebelum alat memberus gigi.

Bagi masyarakat Yunani purba dan Rom, mereka diketahui telah lama menggunakan pes pembersih gigi. Manakala penduduk di China dan India pertama kali menggunakan ubat gigi sekitar tahun 500M.

Pada sekitar tahun 2010, seorang penulis bernama Kerry Segrave menulis buku bertajuk America Brushes Up. Ia mengandungi banyak sejarah tentang ubat gigi yang jarang diperhalusi dan dibincangkan di khalayak.

Serbuk pembersih gigi ciptaan Dr. Lyon mendominasi pasaran Amerika Syarikat pada tahun 1866 hingga 1922. Serbuk ini hanya digantikan oleh ubat gigi dalam bentuk krim selepas Perang Dunia Pertama.

Krim ini memiliki tekstur sama seperti pes ubat gigi yang kita gunakan pada hari ini.

Perkembangan ubat gigi Colgate 

Kredit gambar: Worth Point

Colgate merupakan ubat gigi yang dihasilkan oleh syarikat Colgate-Palmolive. Berasal dari Amerika Syarikat, ia merupakan syarikat produk pengguna lebih menumpukan kepada pengeluaran produk penjagaan kesihatan dan penjagaan diri.

Diasaskan sejak 149 tahun yang lalu, pada hari ini, Colgate memiliki 50 peratus pegangan pasaran. Sebanyak 40 juta isi rumah baru membeli produk berjenama Colgate pada tahun 2014. Penembusan pasaran ini adalah yang terbaik di dunia, diikuti rapat oleh jenama Coca Cola dengan penembusan 43.3 peratus.

Sebelum dihasilkan di dalam tiub, Colgate dipasarkan di dalam bekas kaca. Pada abad kedua puluh, ubat gigi moden dibangunkan untuk membantu mencegah dan merawat penyakit dan keadaan tertentu seperti sensitiviti gigi.

Ubat gigi Colgate dengan fluorida yang membantu mencegahkan pereputan gigi dihasilkan pada tahun 1914. Pada hari ini, ubat gigi biasanya mengandungi fluorida, pewarna, perasa, pemanis dan bahan-bahan yang menghasilkan ubat gigi dengan pes halus, berbusa dan kekal lembap.

Menerusi pemilikan 50 peratus Hawley & Hazel, Colgate-Palmolive juga kini memiliki pesaingnya, Darlie.

Bacaan Seterusnya