Sejarah Siaran Radio Komersil Di Negeri Pantai Timur

Siaran radio sebenarnya sangat sinonim dengan masyarakat Malaysia. Berdasarkan kajian yang dibuat GfK Radio Audience Measurement (RAM) Wave 2 2021, pendengar radio juga terus bertambah. Peningkatan ini sangat memberansangkan kerana siaran radio kini berhadapan dengan cabaran dari laman penstriman muzik seperti Spotify, YouTube Music serta Joox.

Kajian terbaharu oleh Gfk RAM itu menunjukkan peningkatan pendengar radio dengan mencapai 96 peratus individu di Semenanjung Malaysia. Jumlah tersebut kini adalah setara dengan 21.1 juta pendengar radio mingguan, membawa kepada peningkatan seramai 469,000 pendengar.

Negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia agak sinonim dengan dialek dan hiburan mereka yang tersendiri. Kaya dengan lagu-lagu tradisi, maka radio komersil yang dipancarkan di kawasan Pantai Timur juga memenuhi selera pendengar di sana.

Kehadiran siaran radio komersil ini juga amat meraikan komuniti Pantai Timur melalui gaya hidup, warisan dan tradisi setempat. Selain itu juga, siaran radio tersebut memainkan muzik yang diminati oleh komuniti di sana.

Berikut merupakan latar belakang beberapa siaran radio komersil yang memfokuskan pendengar di Pantai Timur.

Manis FM

Kredit gambar: Malaysiakini

Manis FM memulakan siarannya sejak tahun 1998, kira-kira 23 tahun yang lalu. Bertemakan lagu-lagu hit kontemporari, Manis FM hanya memfokuskan pendengar di negeri Kelantan sahaja.

Pada mulanya, stesen radio ini hanya bersiaran selama 18 jam. Kemudian, pada tahun 2003, Manis FM mula menambah frekunsi mereka untuk pendengar di negeri-negeri lain seperti Pahang dan Terengganu.

Dengan slogan “Gaya Pantai Timur”, kini Manis FM dimiliki oleh Husa Network Sdn Bhd dan beribu pejabat di Kuala Terengganu.

Gegar

Kredit gambar: Behance

Sejarah stesen radio ini bermula sebagai Time Highway Radio atau THR. Pada ketika itu, ia dimiliki oleh TIME Engineering Sdn Bhd dan memfokuskan kepada pendengar di jalan raya dan lebuh raya. Stesen radio ini menyampaikan laporan keadaan trafik di lebuh raya, disamping memainkan lagu-lagu kontemporari.

Berdasarkan sejarah radio komersil, THR dianggap sebagai radio komersil penuh pertama negara. Pesaing terdekatnya ketika itu adalah Best FM, stesen radio swasta pertama yang berpusat di Johor Bahru.

Stesen radio ini kemudiannya dibeli oleh Astro dengan nilai RM30 juta dan fungsinya diubah 100 peratus. Dipecahkan kepada dua stesen, THR Gegar menjadi radio yang memfokuskan segmen pendengar di Pantai Timur dan menjadi pesaing kepada Manis FM.

Kini, THR Gegar dikenali sebagai Gegar. Dengan penyampaian berkualiti, info terkini dan lagu-lagu yang memenuhi selera pendengar, Gegar merupakan jenama radio nombor satu di Pantai Timur.

Siaran radio Gegar kini mencapai 2.3 juta pendengar mingguan.

Molek FM

Kredit gambar: Buletin FM

Selepas dominasi panjang Gegar, Media Prima Audio (MPA) dijangka akan cuba untuk menjadi pilihan alternatif pendengar di Pantai Timur. MPA baru-baru ini telah mengumumkan pembukaan stesen radio baharu di bawah naungannya iaitu Molek FM.

Info mengenai penyampai dan pengisian Molek FM akan diumumkan di sidang media yang akan berlangsung dua hari lagi. Dengan tagline Gu Pantai Timur, Molek FM akan menjadi stesen radio yang bakal memberikan hiburan dan meraikan komuniti Pantai Timur.

Bacaan Seterusnya