Sejarah Taman Tasik Taiping, Taman Awam Tertua Di Malaysia

Taiping merupakan antara bandar terawal di Malaysia yang dibangunkan oleh British dan ia tercermin menerusi kehebatan seni binanya. Bandar ini merupakan ibu negeri Perak sepanjang tahun 1876 hingga tahun 1937 apabila digantikan oleh Ipoh. Terletak 302 km ke utara Perak, Taiping kaya dengan keajaiban sejarah, kebudayaan dan keindahan semulajadi.

Nama asal bandar Taiping ialah Klian Pauh. Taiping mendapat nama dari karekter tulisan Cina – ‘Tai’ (Besar) dan ‘Ping’ (Damai). Dibuka pada tahun 1874, Taiping kini menyimpan pelbagai khazanah sejarah yang penting untuk Malaysia. Antaranya khazanah tersebut termasuklah Taman Tasik Taiping, taman awam pertama negara yang dibuka pada tahun 1880 oleh British.

Bekas lombong yang didermakan oleh Chung Thye Phin

Kredit gambar: NST

Pada asalnya, Taman Tasik Taiping merupakan himpunan beberapa buah lombong bijih timah yang telah terbiar. Namun, lokasinya yang sangat strategik di kaki Bukit Larut menarik perhatian British untuk dibangunkan sebagai taman awam.

Idea untuk mewujudkan taman awam untuk penduduk Taiping ini merupakan cadangan Kolonel Robert Sandilands Frowd Walker. Beliau merupakan seorang Pegawai Tentera British dan bertanggungjawab menubuhkan Malay States Guide ataupun Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu.

Sebelum dibangunkan sebagai taman awam, ia merupakan tinggalan sepuluh buah lombong yang didermakan oleh Chung Thye Phin. Berkeluasan kira-kira 64 hektar atau 160 ekar, pembangunan Taman Tasik Taiping ini telah dilaksanakan oleh Charles Compton Reade.

Taman yang berkonsepkan Rolling Meadows

Kredit gambar: Harian Metro

Pada tahun 1884, taman tasik ini telah ditanam dengan rumput, pokok-pokok bunga dan pokok-pokok seperti tembusu dan hujan-hujan. Di beberapa kawasan, ia juga ditambah dengan pagar bagi mengelakkan kemasukan haiwan ternakan penduduk seperti lembu.

Taman tasik ini dibangunkan mengikut konsep Rolling Meadows, iaitu konsep yang mengadaptasi kawasan hijau dan lapangan berkontur. Pokok-pokok besar digunakan sebagai elemen utama serta tasik sebagai pelengkap kepada landskapnya.

136 tahun kemudian, Taman Tasik Taiping kini menjadi rumah kepada lebih 2,500 batang pokok dari lebih 75 spesis. Ini termasuk spesis eksotik seperti teratai putih, pokok seroja, pokok tembusu, pokok hujan-hujan, pokok Brazil Nut dan Jacaranda Filicifolia.

Lebih daripada sekadar taman rekreasi

Kredit gambar: Harian Metro

Sungguhpun Taman Tasik Taiping merupakan taman buatan manusia namun ia adalah sumber pembangunan yang amat bernilai dari segi estatik, warisan negara dan juga ekonomi. Pada hari ini dianggarkan lebih sejuta pengunjung datang melawat ke Taman Tasik Taiping saban tahun.

Selain daripada berfungsi sebagai taman rekreasi, Taman Tasik Taiping juga merupakan zon takungan air untuk mengelakan kejadian banjir kilat di bandar Taiping. Ini kerana, bandar paling lembab di Malaysia ini menerima taburan hujan yang tertinggi di negara. Purata hujan di kaki Bukit Larut ini adalah kira – kira 4,000 mm berbanding purata hujan tahunan Semenanjung Malaysia sebanyak 2,000 – 2,500 mm.

Pohon-pohon segar menghijau dalam taman ini turut berfungsi sebagai green lung dan penapis udara semulajadi kepada bandar, kawasan perumahan dan komersial di Taiping. Keindahan Taman Tasik Taiping turut mendapat pelbagai pengiktirafan antarabangsa. Pada 21 Disember 2018, Taiping telah tersenarai dalam 100 Destinasi Lestari Hijau Terbaik Dunia Tahun 2018 oleh Green Destination Award.

Bacaan Seterusnya