Selepas Belanja RM166 Juta Perkukuh 4G, Celcom Bersedia Untuk 5G

Celcom Axiata Bhd (Celcom) sebelum ini telah memperuntukkan perbelanjaan modal sekitar RM1 bilion tahun ini bagi mempertingkatkan kapasiti rangkaian 4Gnya selaras dengan aspirasi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA). Perbelanjaan besar ini adalah bagi meningkatkan liputan 4G LTE kepada 95.6 peratus di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Idham Nawawi, syarikat telekomunikasi itu meningkatkan pelaburan dalam rangkaian 4G untuk menyokong pertumbuhan trafik, selain memperkemaskan pertumbuhan baharu dalam perniagaan kediaman dan syarikat SME. Celcom juga akan terus melabur dalam penggunaan teknologi terkini termasuk 4T4R multiple-input and multiple-output (MIMO), Carrier Aggregation dan 256 Quadrature Amplitude Modulation (QAM).

Melalui pelaburan rangkaian yang dipacu, Celcom turut memfokuskan persediaan rangkaian bagi penamatan perkhidmatan 3G menjelang hujung tahun ini. Syarikat gergasi telekomunikasi itu akan menaiktaraf dan mengoptimumkan lebih 7,000 tapak rangkaian, mempertingkatkan kapasiti dan liputan bagi kawasan luar bandar dan bandar dengan 93 peratus liputan 4G di seluruh negara.

Setakat ini, Celcom sudah melaksanakan pelaburan perbelanjaan modal sebanyak RM166 juta, dengan 70 peratus digunakan untuk memodenkan rangkaian. Pelaburan ini dilihat amat berbaloi untuk Celcom apabila syarikat menunjukkan momentum pertumbuhan positif di kesemua segmen pendapatan terasnya. Ia turut diperlihatkan melalui peningkatan pegangan pasaran pada suku tahunan pertama tahun ini sebanyak 317, 000 pelanggan. 

Celcom juga sedang bersedia dengan teknologi 5G jika infrastruktur rangkaian itu sudah tersedia kelak di Malaysia.