Siapa Sangka Post Malone Boleh Buat Tribute Nirvana Yang Power?

Like dan Follow Facebook Rencah di bawah sekarang.

Sebagai peminat Nirvana yang berhenti mendengar radio pada 2010 selepas genre hip hop mengambilalih penguasaan genre rock di arus perdana, terus-terang saya cakap saya tak kenal sangat Post Malone.

Pendedahan terawal saya terhadap lagu Post Malone adalah ketika terdengar lagu Sunflower di Mix FM pada tahun lepas, kira-kira setahun selepas lagu tersebut dikeluarkan.

Apabila anda kali pertama mendengar sesebuah lagu di Mix FM, memang nampak sangatlah anda ‘duduk gua’. Ia umpama kali pertama dengar lagu Di Matamu (Sufian Suhaimi) di Sinar FM.

Saya suka lagu Sunflower. Ia sangat berbeza daripada lagu ‘mumble rap’ yang saya selalu dengar di radio arus perdana. Tapi ia masih belum cukup untuk membuatkan saya berminat untuk kenal Post Malone lebih lanjut di Spotify atau YouTube.

Jadi apabila saya mendengar berita Post Malone akan mengadakan persembahan tribute Nirvana secara langsung di YouTube, sudah tentulah saya rasa skeptikal.

Persembahan tribute Nirvana tersebut dibuat oleh Post Malone dengan tujuan untuk mengumpul dana untuk UN Foundation’s COVID-19 Solidarity Response Fund kelolaan World Health Organization (WHO).

Matlamatnya adalah untuk kumpul USD7.5 juta (RM32.7 juta). Bagi setiap USD1 yang disumbangkan, Google akan menyumbang USD2 sehinggalah tabung mencapai jumlah kutipan USD5 juta.

View this post on Instagram

friday:)

A post shared by @ postmalone on

Persembahan lebih bertenaga daripada rockers

Disiar secara langsung dari rumahnya di Salt Lake City, persembahan Post Malone turut diiringi oleh pemain dram dari satu lagi band kegemaran saya – Travis Barker dari Blink 182. Brian Lee (bass) dan Nick Mac (gitar) melengkapi kuartet persembahan.

Apabila Malone memulakan persembahannya dengan Frances Farmer Will Have Her Revenge on Seattle, serta-merta saya jadi tertarik. Lagu ini boleh dianggap ‘B-side’ album In Utero. Hanya peminat tegar Nirvana sahaja yang layan lagu ini.

Lagu seterusnya adalah Drain You dari album Nevermind. Sebaik sahaja mendengar Malone menyanyi “One baby to another says, I’m lucky to have met you”, saya terus cair.

Serak suara Malone memang kena sangat dengan genre grunge. Suaranya tak sama macam suara Kurt Cobain, tapi mempunyai tenaga dan semangat yang sama. Dan yang paling mengejutkan saya adalah apabila melihat betapa relaksnya Malone membawa lagu ini.

Travis Barker pula sebelum ini ada kecenderungan untuk mensusah-susahkan ketukan dram dalam lagu Blink 182. Saya takut kalau-kalau Barker buat benda sama dalam lagu Nirvana.

“Nirvana tak perlukan ghost note dalam dram, Travis. Keep it simple, Travis” getus hati saya ketika melihat persembahan mereka. Seperti Malone, pemain dram Blink 182 ini turut memberikan persembahan ringkas tapi bertenaga – seperti yang peminat Nirvana selalu dengar dari Dave Grohl.

Antara lagu-lagu popular lain yang dinyanyi oleh Malone adalah Come As You Are, Lounge Act, Heart-Shaped Box, Something In The Way, About A Girl, Stay Away, Lithium dan In Bloom.

Dua lagu Nirvana yang tak dinyanyikan Post Malone

Kalau anda tanya, bagaimana dengan persembahan Malone dalam lagu Smell Like A Teen Spirit? Atau lagu You Know You’re Right?

Saya tak boleh bagi jawapan sebab Malone tak menyanyikan dua lagu ini dalam setlist mereka. Dan jujur saya cakap, saya gembira beliau tidak menyanyikan dua lagu ini. Dua lagu ini adalah dua lagu yang paling overplayed.

Dan kalau saya sendiri buat persembahan tribute Nirvana pun, saya takkan menyanyikan dua lagu ini. Susah nak jelaskan sebabnya. Ia mungkin sebab sama kenapa Radiohead benci main lagu Creep. Jadi saya faham kenapa Malone tak memasukkan dua lagu tersebut dalam setlist.

Dipuji Kris Novoselic

Itu semua bagus. Tapi bagi saya, selagi seseorang penyanyi grunge tidak boleh menyanyikan Territorial Pissings dengan baik, saya tak akan memberi ‘markah lulus’.

Territorial Pissings, bagi saya, adalah penanda aras dalam audition penyanyi grunge. Lepas suara nyanyi Territorial Pissings, lepaslah nyanyi semua lagu Nirvana.

Apabila Malone menyanyikan lagu tersebut, saya sekali lagi terpukau. ‘Wow’ dan ‘gila babi’ adalah dua reaksi spontan saya ketika mendengar korus:

Gotta find a way
To find a way
When I’m there
Gotta find a way
A better way
I had better wait

Persembahan Post Malone bukan sahaja memukau saya. Malah turut dipuji oleh pemain bass Nirvana, Kris Novoselic.

Selepas melihat persembahan Malone ini, barulah saya tergerak hati untuk membuat kajian terhadap karier beliau. Semuanya sebab saya nak cari jawapan kepada soalan: bagaimana rapper seperti beliau boleh membuat persembahan rock mengalahkan rockers sendiri?

Selepas membuat carian, barulah saya dapat tahu karier Post Malone sebenarnya bermula ketika beliau pernah menjadi gitaris band metalcore ‘Ashley’s Arrival’. Beliau juga pernah membuat persembahan dengan Aerosmith dan Red Hot Chili Peppers.

Tatu beliau pula banyak mengandungi gambar idolanya dalam bidang muzik seperti Kurt Cobain, Dimebag Darrell, John Lennon, George Harrison, Stevie Ray Vaughn dan Elvis Presley.

Beliau juga merupakan peminat tegar Metallica dan pernah menyanyikan Nothing Else Matters dalam sebuah album live yang bertajuk sama.

Fakta-fakta ini mungkin dah lama diketahui oleh peminatnya. Tapi bagi peminat-peminat muzik yang ignorant macam saya, ia adalah benda yang kami baru belajar. Tak keterlaluan untuk saya cakap, banyak peminat rock akan meminati Post Malone selepas ini, seperti saya.

Anda boleh tonton persembahan tribute Nirvana oleh Post Malone dalam video di bawah:

Baca juga artikel kami lain yang berkaitan:

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram