Singapura Dinobatkan Sebagai Negara Paling Bahagia Di Asia Tenggara

Seperti yang dijangka, Singapura kekal menduduki tempat pertama di dalam senarai Laporan Kebahagiaan Dunia 2021 bagi Asia Tenggara. Laporan yang dikeluarkan hampir setiap tahun itu adalah yang kesembilan setakat ini dan diterbitkan oleh Jaringan Penyelesaian Pembangunan Lestari (SDSN), sebuah inisiatif global yang dilancarkan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2012.

Laporan Kebahagiaan Dunia 2021 meletakkan Finland di tangga pertama dalam senarai tersebut. Afghanistan yang baru sahaja kembali diperintah oleh Taliban, menduduki tangga tercorot di dalam senarai tersebut. Pembolehubah yang digunakan bertukar-tukar saban tahun oleh SDSN, namun negara yang paling gembira memiliki keseimbangan dari aspek kemakmuran dan modal sosial iaitu kepercayaan tinggi dalam masyarakat, keyakinan terhadap kerajaan serta bersikap adil.

Ekoran impak pandemik Covid-19 di seluruh dunia, maka ia diambil sebagai tema utama kajian laporan yang dikeluarkan pada tahun 2021. Impak pandemik terhadap kehidupan rakyat di sesebuah negara serta tindakan yang diambil oleh kerajaan dalam menangani pandemik dikaji oleh SDSN bagi mencari jawapan mengapa sesetengah negara berjaya, dan sesetengah negara pula gagal.

Singapura, negara paling bahagia di Asia Tenggara

Kredit gambar: https://mothership.sg/2015/09/first-time-voters-share-what-they-thought-of-when-they-put-an-x-on-the-ballot-paper/

Negara kepulauan bersaiz 728.6 km persegi dengan kepadatan 5.685 juta penduduk itu kekal mendominasi Laporan Kebahagiaan Dunia 2021 bagi Asia Tenggara. Singapura mencatatkan 6.4 mata meninggalkan negara-negara jiran Asia Tenggara yang lain.

Thailand berada di kedudukan kedua di Asia Tenggara dengan 6 mata, diikuti rapat oleh Filipina dengan 5.9 mata. Malaysia dan Vitenam berkongsi kedudukan dengan 5.4 mata manakala Indonesia dibelakang dengan 5.4 mata. Myanmar yang berada di dalam situasi terubang-ambing selepas kejatuhan kerajaan demokratik dan penguasaan junta tentera berada di kedudukan terakhir dengan 4.4 mata.

Apa signifikan angka ini?

Sejak pandemik mula melanda dunia, Singapura kerap kali disebut sebagai negara contoh yang berjaya mengawal penyebaran wabak tersebut. Kerajaan mereka berusaha sedaya upaya mendapatkan vaksin dengan pantas, lantas mempercepatkan proses pemberiannya kepada rakyat. Ia merupakan negara pertama di Asia yang meluluskan penggunaan vaksin Pfizer BioNTech.

Sebagai perbandingan, suntikan vaksin pertama diterima oleh seorang jururawat di Singapura pada 30 Disember 2020, manakala Presiden Indonesia menerimanya pada 13 Januari 2021 dan Perdana Menteri Malaysia menerima suntikan pada 24 Februari 2021.

Selain itu juga, kerajaan Singapura dilihat lebih berjaya melaksanakan kawalan pergerakan yang lebih berjaya mengurangkan kadar jangkitan berbanding negara jirannya. Namun, faktor saiz negara dan jumlah penduduk juga perlu dilihat sebagai perbandingan yang lebih adil.

Indonesia merupakan negara ke-14 terbesar di dunia. Bersaiz 1,904,569 km persegi dengan terdiri daripada lebih 17,000 pulau bukanlah tugas yang mudah untuk sebarang kawalan pergerakan, ditambah dengan kepadatan penduduk keempat paling ramai di dunia dengan 270,203,917 orang penduduk. Malaysia pula bersaiz 330,803 km persegi dengan kepadatan 32,730,000 penduduk.

Myanmar, negara paling sengsara di Asia Tenggara

Kredit gambar: https://www.theguardian.com/world/2021/mar/03/dozens-killed-in-myanmars-worst-day-of-violence-since-coup

Selepas pilihan raya yang diadakan pada 8 November tahun lalu, Aung San Suu Kyi serta beberapa orang pemimpin parti Liga Nasional Demokrasi Myanmar (NLD) telah ditangkap oleh tentera. Lebih mengejutkan, pasukan tentera telah mengisytiharkan darurat selama setahun sejurus penangkapan Aung San Suu Kyi.

Sebelum itu, tentera Myanmar menuduh berlakunya penipuan dalam pilihan raya umum tersebut yang menyaksikan parti pemerintah (NLD) pimpinan Suu Kyi menang besar. Pemilihan pada November tersebut adalah pilihan raya demokratik yang kedua di Myanmar sejak negara itu keluar daripada regim pemerintahan diktator selama 49 tahun. Suu Kyi, tokoh sangat dikenali di Myanmar dan partinya menyapu bersih pemilihan, sekali gus sepatutnya meneruskan pentadbiran mereka bagi tempoh lima tahun lagi.

Rampasan kuasa oleh tentera di Myanmar turut menarik perhatian masyarakat antarabangsa. Pergolakan politik di Myanmar secara tidak langsung menyebabkan ketidakstabilan di rantau Asia Tenggara, misalnya masalah pelarian Rohingya dan konflik etnik di Myanmar dilihat bertambah kritikal di bawah pemerintahan junta tentera. Negara jiran seperti Bangaladesh, Thailand dan Malaysia pula akan terus berhadapan dengan masalah pelarian etnik Rohingya.

Apabila demokrasi digagalkan dan digantikan oleh tirani, adalah tidak menghairankan apabila negara terbabit menduduki tangga tercorot dalam senarai negara paling bahagia di Asia Tenggara.

Bacaan Seterusnya