Tak Adil Asyik Malaysia Kena Ambil Pelarian Rohingya Baru, Kata PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on telegram
Share on whatsapp
Share on email

Like dan Follow Facebook Rencah di bawah sekarang.

Malaysia tidak lagi boleh mengambil pelarian Rohingya baru untuk memberi perlindungan kerana sumber dan kapasiti negara hanya cukup-cukup untuk rakyat, lebih-lebih lagi ketika wabak COVID-19.

Bercakap dalam Persidangan ASEAN ke-36 melalui persidangan video dari Putrajaya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata adalah tak adil Malaysia sahaja disuruh memberikan perlindungan kepada pelarian.

“Walaupun Malaysia bukan ahli Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol Status Pelarian 1967, kami telah memberikan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya dan pelarian lain dari Myanmar sebelum ini.

“Tetapi situasi ini tak boleh berterusan selama-lamanya,” kata Muhyiddin.

Persidangan ASEAN tersebut merupakan kali pertama penganjurannya diadakan selepas kemuncak penularan wabak COVID-19. Ia dihoskan oleh Vietnam.

Dalam persidangan tersebut, Malaysia turut menyeru United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR) supaya berkerjasama dengan ASEAN untuk mempercepatkan proses pemindahan pemegang kad UNHCR ke negara lain.

Muhyiddin turut menggesa negara-negara ASEAN lain supaya mencari jalan penyelesaian efektif kepada krisis yang menimpa etnik Rohingya di Rakhine, Myanmar.

“Apa yang kita buat di ASEAN untuk tolong cari jalan penyelesaian kepada krisis di Rakhine ini?

“ASEAN mesti membantu Myanmar, dan Myanmar sendiri kena buat kerja lebih untuk membantu mereka sendiri supaya krisis ini dapat diselesaikan. Selepas itu, barulah pembangunan boleh berlaku dengan bermakna.” katanya.

“Malaysia sudah lama tanya apa jalan penyelesaian jangka masa panjang kepada krisis yang menimpa etnik Rohingya di Rakhine. Mereka terdedah kepada risiko eksploitasi penyeludupan, pemerdagangan manusia dan perhambaan.

“Penderitaan mereka boleh menyebabkan mereka menjadi pengganas dan ekstremis yang senyap semasa pandemik. Kesenyapan mereka tak boleh disalah erti sebagai ketiadaan bahaya kepada ASEAN.

“ASEAN juga mesti membuat satu pendekatan komprehensif untuk menentang dan membendung penyeludupan manusia yang boleh merebak kepada aktiviti pemerdagangan manusia, di mana kebanyakan mangsanya terdiri daripada pelarian.”

Semalam Reuters melaporkan sekumpulan nelayan di Acheh, Indonesia bertindak menyelamatkan sebuah bot yang membawa 94 pelarian Rohingya – 79 daripadanya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak. Reuters melaporkan bot tersebut pada mulanya dirancang untuk dihalau semula ke laut oleh pihak berkuasa Indonesia.

Pihak berkuasa Indonesia di Acheh mengesahkan kesemua pelarian Rohingya tersebut telah dibawa ke darat dan diberi penempatan sementara di masjid. Amnesty International dilaporkan sedang bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di Indonesia untuk mengurus penjagaan dan dokumentasi semua pelarian.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Sumber:
Share on facebook
Kongsi Di Facebook