Tak Ramai Pekerja Tempatan Mahu Kerja Tuai Tandan, Sime Darby Risau Rugi

blank

Like dan Follow Facebook Rencah di bawah sekarang.

Lantaran kekurangan pekerja tempatan, Sime Darby Plantation Bhd (SDP) berharap kerajaan akan membenarkan sektor perladangan untuk terus menggunakan khidmat pekerja asing khususnya bagi tujuan tuaian tandan buah segar (TBS).

Pengarah Urusan Kumpulannya, Mohamad Helmy Othman Basha berkata ini penting kerana SDP misalnya turut berdepan kesukaran mendapatkan tenaga kerja tempatan.

“Lazimnya seorang pekerja boleh menuai 1.5-2.0 tan TBS sehari dan pada masa ini kami kekurangan lebih 2,000 pekerja yang menyebabkan syarikat berdepan kerugian pada tahun ini,” katanya kepada Bernama selepas mengumumkan keputusan kewangan suku kedua 2020 syarikat itu diumumkan hari ini.

Menurut Mohamad Helmy, SDP hanya berjaya mendapatkan khidmat 200-300 pekerja tempatan namun hanya 10 orang yang sanggup melakukan kerja-kerja penuaian manakala sebahagian besar yang lain memilih tugas-tugasan am.

Beliau berkata, pada masa ini 75 peratus daripada pekerja ladang SDP adalah warga asing dan menyifatkannya sebagai positif jika angka itu dapat dikurangkan kepada 70 peratus pada tahun ini.

SDP juga telah meninjau semua pilihan yang ada, termasuk mengambil pekerja tempatan selain meningkatkan aspek mekanisasi dan digitalisasi.

Walaupun berdepan kekurangan pekerja, syarikat itu yakin dapat mengekalkan pengeluaran TBS tahun lepas sebanyak 10 tan.

Untuk rekod, 2019 disifatkan sebagai tahun kurang menarik bagi komoditi khususnya pengeluaran susulan musim kemarau.

Namun, pengeluaran lebih rendah itu membantu meningkatkan harga harga purata komoditi itu kepada RM2,813 satu tan pada Disember 2019 berbanding RM1,879 satu tan pada Julai.

Bagi tempoh berbaki tahun ini, SPD menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) diniagakan antara RM2,500 satu tan hingga RM2,600 satu tan.

Malah setakat ini, pembeli tradisional minyak sawit Malaysia – India dan China dilaporkan telah kembali semula.

Sementara itu, Pengarah Urusan Sime Darby Oils Sdn Bhd Mohd Haris Mohd Arshad yang turut hadir pada majlis sama, berkata India sememangnya dikenali sebagai pengguna MSM manakala Malaysia merupakan pembeli terbesar olein sawit negara ini.

“Pada masa ini, kami sudah mula memenuhi permintaan bagi produk-produk dan eksport juga telah kembali ke paras sebelum berlakunya COVID-19. Namun, kami juga bimbangkan permintaan yang akan terjejas sekiranya harga terus meningkat,” katanya.

Dalam pada itu, SDP hari ini memaklumkan bahawa keuntungan bersihnya bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2020, telah melonjak kepada RM378 juta daripada RM27 juta pada tempoh sama, tahun lepas.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, SDP berkata perolehannya menokok kepada RM3.21 bilion berbanding RM2.86 bilion manakala pendapatan asas sesahamnya pada 5.50 sen iaitu meningkat daripada 0.40 sen.

Selain itu, hutang bersih syarikat perladangan itu juga bertambah baik, didorong oleh pinjaman lebih rendah serta kedudukan tunai dan ekuiti yang tinggi.

Setakat 30 Jun, pinjaman bersihnya berkurangan sebanyak RM580 juta berbanding kedudukan pada 31 Mac, sebahagian besarnya berpunca daripada pinjaman bersih RM448 juta akibat peningkatan tunai yang dijana daripada operasi, penyusutan dolar US berbanding ringgit sebanyak satu peratus dan membawa kepada baki pinjaman lebih rendah sebanyak RM104 juta manakala baki tunai meningkat kepada RM28 juta.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Sumber:
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram