Tan Sri Vincent Tan Umumkan Derma Separuh Hartanya Untuk Kebajikan

Hari ini, di dalam satu temubual eksklusif bersama akhbar The Star, Tan Sri Vincent Tan memaklumkan bahawa beliau akan mendermakan separuh hartanya untuk tujuan amal apabila beliau meninggal dunia kelak.

“Saya rasa adalah kurang bijak untuk meninggalkan semua kekayaan kita kepada keluarga kita sahaja memandangkan harta benda ini kita kumpul menerusi sokongan rakyat Malaysia, dan lesen serta konsesi kerajaan serta bantuan-bantuan lain daripada banyak pihak yang kita temui sepanjang kita mengumpul kekayaan itu.”

Beliau juga sempat menasihatkan agar hartawan-hartawan lain di Malaysia yang telah mencecah usia 70 tahun ke atas untuk melakukan perkara yang sama.

Latar belakang Tan Sri Vincent Tan

Kredit gambar: https://www.mcdonalds.com.my/company/news/the-iconic-mcdonalds-bukit-bintang-now-has-a-new-look

Dilahirkan di Batu Pahat dan memulakan kerjanya sebagai seorang kerani bank, Vincent Tan mula menceburkan diri di dalam perniagaan apabila menjadi seorang ejen insurans AIA secara sampingan. Hasil usahanya yang gigih, beliau dilantik menjadi pengurus agensi AIA seawal usianya 21 tahun.

Antara perniagaan awal yang diceburi oleh beliau adalah membawa masuk kereta recond dari Jepun dan dijual semula ke pasaran negara.

Langkah besarnya di dalam perniagaan bermula apabila beliau berjaya membawa masuk francais McDonald’s ke Malaysia. Kisahnya apabila beliau terbaca artikel mengenai McDonald’s di majalah TIME dan beliau mula menghantar surat permohonan ke ibu pejabat McDonald’s untuk menjadi pemegang francais McDonald’s Malaysia.

Permohonan yang dihantar saban minggu menyebabkan ibu pejabat McDonald’s yakin bahawa Vincent Tan bersungguh-sungguh untuk membuka cawangan mereka di Malaysia. Pada usia beliau 28 tahun, beliau membayar RM250,000 bagi pemilikan 51 peratus McDonald’s Malaysia. Restoran pertama McDonald’s dibuka oleh beliau di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada tahun 1982.

Apabila kerajaan menswastakan Sports Toto pada tahun 1985, beliau berjaya membelinya dan mendapat lesen untuk menjalankan operasi.

Berapakah nilai kekayaan beliau?

Kredit gambar: http://ecoswaysingapore.blogspot.com/2014/02/about-us.html

Menurut laman sesawang Forbes, Tan Sri Vincent Tan mempunyai aset yang bernilai RM3.1 billion. Pada tahun 2020, beliau berada di kedudukan ke-23 daripada senarai orang yang paling kaya di dalam negara kita.

Selain daripada membina kekayaan daripada McDonald’s dan Sport Toto, beliau juga memiliki beberapa francais lain seperti Cosway, Kenny Rogers Roasters, Starbucks, Krispy Kreme, Borders dan juga 7-Eleven.

Beliau juga pernah memiliki Digi dan Prudential sebelum menjualnya sewaktu krisis kewangan Asia pada tahun 1997.

Idea asal The Giving Pledge

Kredit gambar: https://fortune.com/2016/06/01/giving-pledge-new-members-2016/

Apabila kita melihat kepada cadangan yang diberikan oleh Tan Sri Vincent Tan ini, sudah pasti kita akan teringat kepada idea The Giving Pledge yang diasaskan oleh Bill Gates, Melinda Gates dan Warren Buffett.

Idea asal mereka adalah untuk menggalakkan hartawan untuk kembali menderma separuh daripada harta yang mereka miliki semasa hidup ataupun selepas meninggal dunia kepada badan-badan kebajikan.

Setakat Ogos 2020, seramai 211 orang hartawan daripada 23 buah negara telah bersetuju dengan ikrar ini dengan sumbangan yang bakal diterima berjumlah RM2.487 trilion (USD600 bilion).

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram