Tiga Jenis Rempah Ratus Yang Paling Mahal Di Dunia

Sejarah perkembangan rempah ratus hampir sama dengan perkembangan tamadun manusia. Tidak ada komoditi lain yang memainkan peranan utama dalam pembangunan peradaban moden selain rempah ratus.

Lazimnya rempah ratus ini dikeringkan terlebih dahulu sebelum digunakan supaya boleh disimpan lama. Ia juga bagi mengelakkan rempah ini daripada berkulat atau rosak. Setiap rempah mempunyai aroma dan rasa yang tersendiri.

Kebiasaannya, rempah ratus digunakan sebagai bahan pengawet. Ini kerana, ia mampu membunuh pertumbuhan pelbagai jenis bakteria. Kebanyakan rempah ini juga digunakan untuk tujuan lain seperti perubatan, kosmetik, pewangi atau dimakan sebagai sayuran.

Sejak 3500 Sebelum Masihi lagi, Tamadun Mesir Purba telah menggunakan rempah secara meluas. Kegunaan utama adalah sebagai rencah di dalam makanan, selain bagi upacara keagamaan, pewangi dan juga pengawetan mumia.

Pengembaraan Bangsa Eropah ke Tanah Besar Asia juga sebenarnya sangat berkait rapat dengan penguasaan perdagangan rempah. Tanpa tarikh luput, rempah ratus masih bernilai tinggi sehingga hari ini. Ini latar belakang tiga rempah ratus yang paling mahal di dunia.

Kulit kayu manis

Kredit gambar: Best Health Magazine

Kulit kayu manis merupakan rempah yang sangat sinonim dengan masakan. Rempah ini berasal dari kulit pokok Cinnamon yang banyak terdapat di negara seperti Sri Lanka, India dan Indonesia.

Pada hari ini, ia digunakan di banyak negara sebagai rempah utama bagi kebanyakkan hidangan. Hanya sedikit rasa kayu manis juga boleh mengubah rasa terhadap minuman seperti kopi, teh, dan juga coklat.

Harga pasaran bagi kulit kayu manis adalah RM25.26 bagi seiap 0.45kg.

Bunga cengkih

Kredit gambar: India TV

Bunga cengkih ialah putik bunga daripada pokok cengkih yang juga dikenali sebagai Syzygium aromaticum. Rempah ini dikeringkan dan boleh didapati dalam serbuk mahupun biji.

Rempah ini banyak digunakan di dalam masakan Asia, India dan Mediterranean. Selain rasanya, rempah ini sangat berkhasiat. Antara khasiat Cengkih adalah dapat memberi kelegaan sakit mulut dan sakit kepala.

Rempah ini juga dipercayai mempunyai manfaat penting dari segi mengekalkan ketumpatan tulang. Harga pasaran dunia bagi bunga cengkih ialah antara RM29.48 hingga RM42.10 bagi setiap 0.45kg.

Buah pelaga

Kredit gambar: Healthline

Buah pelaga adalah merupakan antara jenis rempah ratus yang paling lama pernah digunakan. Tumbuhan daripada keluarga Zingiberaceae ini adalah sama dengan tanaman halia dan lengkuas.

Tanaman ini sebenarnya merupakan tumbuhan semulajadi yang dipercayai berasal dari hutan Barat Ghats di Selatan India. Pada mulanya ia hanya tumbuh secara meliar.
Dek kerana permintaan yang tinggi, buah pelaga kini ditanam secara meluas di Sri Lanka, Guatemala, India, Indonesia dan Tanzania. Produk buah pelaga sering digunakan sebagai perisa dalam masakan.

Harga pasaran buah pelaga kini mencecah RM126.33 bagi setiap 0.45kg.

Bacaan Seterusnya