Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) Dan Kegunaannya

Rare Earth Elements (REE) merupakan logam dengan sifat bahan kimia yang sangat unik. REE terdiri daripada 15 unsur kimia kelas lantanid dan tambahan dua unsur scandium (Sc) dan yttrium (Y) dalam jadual berkala.

Unsur nadir membawa maksud unsur-unsur yang jarang ditemui ataupun mempunyai peratusan kecil di permukaan bumi. Kesemua 17 elemen ini mempunyai sifat elektromagnetik yang tinggi dan boleh dibahagikan kepada logam nadir bumi radioaktif (R) dan bukan radioaktif (NR).

Secara umumnya, REE adalah unsur penting kepada perkembangan industri digital akhir-akhir ini. Sama seperti permintaan terhadap semikonduktor yang tidak akan surut, REE dilihat menjadi keperluan utama kepada ledakan industri 4.0. Ia ditambah dengan permintaan tinggi terhadap peralatan berteraskan teknologi digital menyebabkan permintaan REE turut meningkat.

Tinjauan oleh Jabatan Mineral dan Geosains di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) mendapati sumber mineral negara dianggar berjumlah RM4.11 trilion. Ia merangkumi mineral berlogam, mineral bukan logam dan mineral tenaga.

Daripada anggaran ini, sumber NR-REE di Malaysia adalah berjumlah 15.188 juta tan metrik dengan nilai sekitar RM741 bilion ($182 bilion). Ia banyak terdapat di Kedah, Perak, Terengganu, Kelantan, Pahang, Johor dan beberapa buah negeri lain.

SOP perlombongan NR-REE

Kredit gambar: Forbes

Industri mineral memberikan sumbangan yang sangat signifikan kepada pembangunan ekonomi. Selain itu juga, ia menyediakan sebahagian besar bahan asas kepada industri meliputi sektor pembinaan, pembuatan, perkilangan, pengangkutan, infrastruktur, tenaga dan pertanian.

NR-REE merupakan sumber mineral baharu yang berpotensi untuk dibangunkan. Pengkelasan bukan radioaktif ini adalah seperti mana ketetapan oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984.

Perlombongan NR-REE ini kelak perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perlombongan yang tersendiri. SOP ini meliputi 3 peringkat aktiviti perlombongan iaitu pra-perlombongan, semasa perlombongan dan pasca perlombongan.

Sebelim ini juga, beberapa SOP sudah dibangunkan, dimulakan dengan dokumen SOP Bauksit Pahang, Terengganu dan Johor yang sudah diguna pakai. Bagi setiap peringkat tersebut, disediakan prosedur yang perlu dipatuhi bagi memenuhi keperluan perundangan, keselamatan, kesihatan dan pembangunan lestari berkaitan.

Selain itu juga, pengezonan kawasan sumber mineral akan dilaksakan supaya industri mineral dapat dibangunkan tanpa menjejaskan komitmen 50 peratus daripada keluasan tanah negara dikekalkan sebagai kawasan berhutan dan dilitupi pokok. Orang awam juga boleh memberikan pandangan melalui sesi libat urus semasa SOP tersebut dibentangkan.

Kegunaan sumber NR-REE

Kredit gambar: SciTechDaily

Unsur nadir logam REE sangat penting dalam penghasilan pelbagai bahan untuk kegunaan industri. Ini termasuklah di dalam industri automotif seperti pembuatan kereta elektrik dan hibrid. Selain itu juga ia diperlukan dalam pembuatan bahan semikonduktor, pemacu dalam komputer, tablet, telefon dan televisyen pintar.

Logam REE ini juga diperlukan dalam industri bateri, sistem paparan eletronik dan navigasi, magnet berintensiti tinggi, radar, sonar, pembuatan kaca dan pencahayaan.

Dalam aspek pasaran logam berasaskan REE, China pada masa kini merupakan pengeluar utama yang menguasai lebih 90% pasaran REE dunia. Namun, sejak kebelakangan ini, dasar China yang mengehadkan jumlah eksport logam REE mengakibatkan ketidaktentuan pasaran yang dijangka meningkat melebihi 700 peratus dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Dari segi harga pasaran pula dijangka meningkat berkali ganda daripada nilai pasaran semasa yang mana mampu mendatangkan limpahan kemakmuran ekonomi kepada negara pengeluar REE.

Bacaan Seterusnya