Varian Covid-19 Akan Dikenali Dengan Menggunakan Alphabet Greek

Bagi mengelakkan stigma dan diskriminasi, varian Covid-19 akan dikenali dengan menggunakan alphabet Greek selepas ini berbanding nama negara. Amalan mengenali varian coronavirus itu mengikut negara ia mula ditemui akan dihentikan berdasarkan keputusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurut Maria Van Kerkhove iaitu Ketua Teknikal Covid-19 bagi WHO,  sistem nama baharu itu membabitkan varian yang membimbangkan terutama empat yang kini berleluasa dan varian peringkat kedua yang kini sedang dikesan. Ia tidak akan menggantikan nama saintifik sedia ada sebaliknya bertujuan memudahkan perbincangan umum.

Sebagai contoh di United Kingdom, varian United Kingdom yang dilaporkan oleh media di negara lain sebenarnya dikenali umum sebagai Varian Kent iaitu nama wilayah ia kali pertama ditemui di tenggara England. Namun begitu, rujukan B.1.1.7.2 masih terus digunakan dalam kalangan masyarakat saintifik kerana ia mengandung butiran mutasi varian berkenaan. Biarpun nama saintifik ada kelebihannya, ia mungkin sukar diungkapkan atau diingati sekali gus menjadi punca salah lapor.

Di bawah sistem baharu itu, empat varian membimbangkan (variants of concern) akan diberi nama baru, di mana Varian B.1.1.7 Britain dikenali sebagai Alpha; Varian Afrika Selatan B.1.351 dikenali sebagai Beta dan Varian P.1 Brazil dikenali sebagai Gamma. Sementara itu, Varian B.1.617 India akan diasingkan kepada dua kategori, dengan the B.1.617.2 selaku varian membimbangkan, akan dikenali sebagai Delta manakala Varian B.1.617.1 dikenali sebagai Kappa.

Masyarakat umum dilihat lebih cenderung menyebut sesuatu varian mengikut tempat ia ditemui, sekali gus mencetuskan stigma dan diskriminasi. Bagi mengelakkannya dan memudahkan penyampaian kepada umum, WHO menggalakkan pihak berkuasa, media dan pihak berkenaan untuk mengguna pakai nama atau label baharu ini.

Setakat laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga bulan Mei 2021, terdapat 104 kes yang dilaporkan di seluruh negara yang membabitkan Variants Of Concern (VOC) manakala 15 kes yang diketahui membabtikan Variants Of Interest (VOI).