WHO Akhirnya Luluskan Vaksin Sinovac Untuk Kegunaan Kecemasan

Selepas Sinopharm menjadi vaksin Covid-19 pertama buatan China yang mendapat kelulusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada bulan lalu, hari ini WHO meluluskan penggunaan vaksin Sinovac-CoronaVac. WHO dalam satu kenyataan pada hari ini telah meluluskan vaksin Sinovac-CoronaVac untuk kegunaan kecemasan.

Kelulusan WHO ini sudah tentu akan menambah keyakinan kepada negara, pembiaya, agensi perolehan dan masyarakat bahawa vaksin berkenaan memenuhi standard keselamatan, keberkesanan dan pembuatan antarabangsa. Ia juga membolehkan vaksin itu menyertai program perkongsian vaksin global, COVAX, bagi membolehkan pengagihan saksama vaksin kepada negara miskin. Setakat ini China telahpun menghasilkan 10 juta dos vaksin Covid bagi kegunaan COVAX dan mensasarkan untuk mencapai 3 bilion dos pada penghujung tahun ini.

Sebelum ini, WHO telah meluluskan penggunaan kecemasan vaksin Pfizer/BioNTech, Moderna, Johnson & Johnson, AstraZeneca dan Sinopharm yang dihasilkan di India, Korea Selatan, Kesatuan Eropah (EU) dan China. Kelulusan WHO itu juga akan membuka jalan bagi negara di serata dunia untuk meluluskan dan mengimport vaksin berkenaan untuk diagihkan terutama negara yang tidak mempunyai standard piawaian sendiri.

WHO mengesyorkan vaksin ini untuk penerima dewasa berusia 18 tahun dan ke atas dengan tempoh penjarakan dua hingga empat minggu bagi kedua-dua dos suntikan. Vaksin Sinovac kini telah digunakan di 22 buah negara selain China di serata dunia termasuk Malaysia, Brazil, Indonesia, Mexico, Thailand dan Turki.

Antara kelebihan suntikan Sinovac adalah kebolehsimpanan di dalam peti sejuk biasa dengan suhu 2-8 darjah celcius. Ini menyebabkan vaksin Sinovac lebih sesuai digunakan di negara membangun yang tidak mampu untuk menyimpan vaksin-vaksin daripada pengeluar lain yang perlu disimpan di dalam suhu ultra sejuk.